Drama merupakan
karya kreatif yang unik kerana mengandungi dua aspek iaitu aspek sastera dan
aspek teater. Merujuk kepada aspek sastera ia mengandungi cerita dan
unsur-unsur karya kreatif seperti pemikiran, plot, watak, bahasa, dan latar.
Manakala aspek teater pula drama dilihat sebagai hasil pementasan. Dengan kata
lain, skrip drama yang telah ditulis akan dipersembahkan di atas pentas.
Menurut Solehah Ishak (2001: 17-21) menyatakan drama merupakan satu bahan
kajian akademik yang cukup unik. Drama boleh dikaji menerusi teks dan proses kepengarangannya,
proses produksi dan kepengarahannya, persembahan dan khalayaknya, estetika dan
pelbagai aspek kehalusan seninya.
Dalam sejarah pertumbuhan atau
perkembangan drama di Malaysia, ia bermula dengan seni gerak. Seni gerak itu
pula berkait rapat dengan upacara keagamaan. Semasa diadakan upacara pemujaan
dalam kepercayaan animisme, diadakan pembacaan jampi serapah. Pembacaan ini
disertai dengan tarian dan nyanyian. Seni gerak ini semakin ketara khususnya
dalam upacara puja pantai, main puteri, bermain ancak dan sebagainya. Dari
situlah munculnya drama tradisional seperti wayang kulit, menora, mak yung dan
bangsawan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan