Rabu, 2 November 2011

MESYUARAT PANITIA BAHASA MELAYU KALI KE-4 SESI 2011

Mesyuarat Panitia Bahasa Melayu kali ke-4 sesi 2011 akan diadakan berdasarkan butiran berikut;

Hari: Rabu
Tarikh: 9 November 2011
Tempat: Bilik Tayang
Masa: 1.15 petang

Semua guru di bawah Panitia Bahasa Melayu dijemput hadir. Sekian, terima kasih.

PERTANDINGAN DONDANG SAYANG SEKOLAH-SEKOLAH MENENGAH NEGERI MELAKA

Laporan Pertandingan Dondang Sayang Sekolah-Sekolah Menengah Negeri Melaka

Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Mutahir telah menyertai satu Pertandingan Dondang Sayang telah diadakan pada 27 Oktober 2011 bersamaan hari Khamis yang lalu. Program yang dikelolakan oleh Sekolah Menengah Kebangsaan Malim ini berlangsung di pentas utama pusat membeli-belah Mydin MITC, Ayer Keroh dengan disaksikan oleh guru, pelajar sekolah serta pengunjung yang datang pada hari tersebut bermula dari jam 11.00 pagi sehingga menghampiri jam 3.00 petang Sebanyak 5 buah sekolah menengah sekitar negeri Melaka telah mengambil bahagian dengan penyertaan sebanyak 11 pasukan dengan diadili oleh para hakim yang sangat berkaliber dalam nyanyian Dondang Sayang. Pertandingan ini diiringi dengan minus one yang disediakan. Bagi memupuk tradisi budaya bangsa melalui lagu Dondang Sayang yang menjadi lambang identiti budaya masyarakat Melaka, Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Mutahir telah menghantar satu pasukan yang dianggotai oleh Saudara Muhammad Firdaus Bin Hashim dan Saudari Siti Nuramira Binti Zainudin, pelajar menengah rendah (sesi petang) untuk menyertai pertandingan tersebut. Kedua-dua peserta ini diberi latihan secukupnya oleh Cikgu Muhammad Izuan Bin Rejab dan Cikgu Nor Hayati Binti Amadaldin selaku guru pembimbing dan pengiring.



Akhirnya, setelah keputusan diumumkan, seorang peserta Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Mutahir iaitu Saudari Siti Nuramira Binti Zainudin memenangi kategori Naib Juara Nyanyian Terbaik menerusi Pertandingan Dondang Sayang tersebut manakala secara keseluruhannya sekolah memenangi tempat saguhati. Hadiah yang disampaikan berupa sijil penyertaan dan piala Naib juara Nyanyian Terbaik.

PROGRAM MBM Bulan November 2011

Cakna Tatabahasa;
Kata ganda berentak atau bersajak.

a. kata ganda bersajak yang mengalami persamaan bunyi di hujung;
- hingar-bingar, kuih-muih, tunggang-langgang

b. kata ganda bersajak yang mengalami persamaan bunyi di pangkal;
- lalu-lalang, porak-peranda, suku-sakat

c. kata ganda yang mengalami persesuaian di tengah-tengah;
- beras-petas, licin-licau, tanah-tanih

Semua kata ganda bersajak diberi tanda sempang (-) oleh sebab salah satu atau kedua-dua kata yang membentuk kata ganda bersajak itu tidak mempunyai makna dan tidak dapat berdiri sendiri.