Rabu, 2 November 2011

MESYUARAT PANITIA BAHASA MELAYU KALI KE-4 SESI 2011

Mesyuarat Panitia Bahasa Melayu kali ke-4 sesi 2011 akan diadakan berdasarkan butiran berikut;

Hari: Rabu
Tarikh: 9 November 2011
Tempat: Bilik Tayang
Masa: 1.15 petang

Semua guru di bawah Panitia Bahasa Melayu dijemput hadir. Sekian, terima kasih.

PERTANDINGAN DONDANG SAYANG SEKOLAH-SEKOLAH MENENGAH NEGERI MELAKA

Laporan Pertandingan Dondang Sayang Sekolah-Sekolah Menengah Negeri Melaka

Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Mutahir telah menyertai satu Pertandingan Dondang Sayang telah diadakan pada 27 Oktober 2011 bersamaan hari Khamis yang lalu. Program yang dikelolakan oleh Sekolah Menengah Kebangsaan Malim ini berlangsung di pentas utama pusat membeli-belah Mydin MITC, Ayer Keroh dengan disaksikan oleh guru, pelajar sekolah serta pengunjung yang datang pada hari tersebut bermula dari jam 11.00 pagi sehingga menghampiri jam 3.00 petang Sebanyak 5 buah sekolah menengah sekitar negeri Melaka telah mengambil bahagian dengan penyertaan sebanyak 11 pasukan dengan diadili oleh para hakim yang sangat berkaliber dalam nyanyian Dondang Sayang. Pertandingan ini diiringi dengan minus one yang disediakan. Bagi memupuk tradisi budaya bangsa melalui lagu Dondang Sayang yang menjadi lambang identiti budaya masyarakat Melaka, Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Mutahir telah menghantar satu pasukan yang dianggotai oleh Saudara Muhammad Firdaus Bin Hashim dan Saudari Siti Nuramira Binti Zainudin, pelajar menengah rendah (sesi petang) untuk menyertai pertandingan tersebut. Kedua-dua peserta ini diberi latihan secukupnya oleh Cikgu Muhammad Izuan Bin Rejab dan Cikgu Nor Hayati Binti Amadaldin selaku guru pembimbing dan pengiring.



Akhirnya, setelah keputusan diumumkan, seorang peserta Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Mutahir iaitu Saudari Siti Nuramira Binti Zainudin memenangi kategori Naib Juara Nyanyian Terbaik menerusi Pertandingan Dondang Sayang tersebut manakala secara keseluruhannya sekolah memenangi tempat saguhati. Hadiah yang disampaikan berupa sijil penyertaan dan piala Naib juara Nyanyian Terbaik.

PROGRAM MBM Bulan November 2011

Cakna Tatabahasa;
Kata ganda berentak atau bersajak.

a. kata ganda bersajak yang mengalami persamaan bunyi di hujung;
- hingar-bingar, kuih-muih, tunggang-langgang

b. kata ganda bersajak yang mengalami persamaan bunyi di pangkal;
- lalu-lalang, porak-peranda, suku-sakat

c. kata ganda yang mengalami persesuaian di tengah-tengah;
- beras-petas, licin-licau, tanah-tanih

Semua kata ganda bersajak diberi tanda sempang (-) oleh sebab salah satu atau kedua-dua kata yang membentuk kata ganda bersajak itu tidak mempunyai makna dan tidak dapat berdiri sendiri.

Rabu, 19 Oktober 2011

PROGRAM BULAN BAHASA KEBANGSAAN 2011

Sempena Bulan Bahasa kebangsaan 2011, Panitia Bahasa Melayu SMK Tun Mutahir turut mengambil bahagian. Perasmian program ini di peringkat sekolah akan disempurnakan oleh Tn.Hj.Hussin b. Sirun pada 21 Oktober 2011 jam 7.20 pagi di tapak perhimpunan sekolah. Tema Bulan Bahasa Melayu Kebangsaan 1 Bahasa 1 Bangsa 1 Negara. Ikrar Setia Bahasa akan dibacakan oleh En.Zakaria b. Ahmad.

IKRAR SETIA BAHASA

Kami, rakyat Malaysia,
berikrar akan terus setia memperjuangkan
bahasa kebangsaan sebagai :
bahasa yang mencipta kedaulatan bangsa;
bahasa kesatuan politik, ekonomi, budaya, sosial,
pendidikan, sains dan teknologi serta pembangunan negara,
yang menjamin kelangsungan bangsa Malaysia;
bahasa yang menjaga dan memupuk kebebasan intelektual
serta memerdekakan pemikiran bangsa; dan
bahasa yang membawa, memelihara, mencipta,
menyalurkan serta mengembangkan ilmu dan
tamadun di negara dan di dunia.
Sesungguhnya,
Kami bertekad akan meneruskan perjuangan ini.

PROGRAM MBM Bulan SEPTEMBER & OKTOBER 2011

Apitan me-kan dan men-i, di-kan dan di-i


Perkataan: Memagar
Maksud: membuat pagar atau memasang pagar.
Ayat:Dia memagar kawasan rumahnya dengan kawat berduri.

Perkataan: Memagarkan:
Maksud : menjadikan sesuatu sebagai pagar.
Ayat: Dia memagarkan kawat berduri di sekeliling kawasan rumahnya.

Perkataan: Memagari
Maksud: mengelilingi sesuatu.
Ayat: Kawat berduri memagari kawasan di sekeliling rumahnya.

Perkataan: dipagar
Maksud: pagar dibuat atau dipasang di sesuatu tempat atau kawasan
Ayat: Kawasan rumahnya dipagar dengan kawat berduri.

Perkataan: dipagarkan:
Maksud : sesuatu dijadikan sebagai pagar.
Ayat: Kawat berduri dipagarkan di sekeliling kawasan rumahnya.

Perkataan: dipagari
Maksud: Sesuatu kawasan atau tempat dipagari
Ayat: Kawasan di sekeliling rumahnya dipagari oleh kawat berduri.

Sumbangan:
Program Sehari Selembar Benang
SMK Seri Serdang 2011

Selasa, 16 Ogos 2011

PROGRAM MBM Bulan OGOS 2011

Masalah Umum Tatabahasa

1. 75% dari kadar sebenar sepatutnya 75% daripada kadar sebenar
2. banyak premis-premis sepatutnya banyak premis
3. berbanyak terima kasih sepatutnya berbanyak-banyak terima kasih
4. bilangan pekerja-pekerja sepatutnya bilangan pekerja
5. dalam kawasan sepatutnya di dalam kawasan
6. di dalam usaha sepatutnya dalam usaha
7. di masukkan sepatutnya dimasukkan
8. demi untuk negara sepatutnya demi negara/ untuk negara
9. disamping sepatutnya di samping
10.di zaman sepatutnya pada zaman

Sumber: Koleksi Lembar Bahasa 2000-2001

Isnin, 11 Julai 2011

Perbengkelan Bahasa Melayu SPM 2011

Panitia Bahasa Melayu atas kerjasama pihak sekolah dan Unit Bimbingan & Kaunseling akan menganjurkan perbengkelan mata pelajaran Bahasa Melayu SPM Siri 2 berdasarkan ketetapan berikut;

Tarikh: 12 Julai 2011
Masa: 12.30 sehingga 2.30 petang
Tempat: Dewan Tun Mutahir
Sasaran: Pelajar kelas 5SN, 5SSI, 5PA1, 5PA2 & 5SS
Fasilitator:
1. Pn. Zawiyah bt. Mohd
2. Pn. Latifah Bt. Hassan
3. Pn. Punitha a/p Rajinram
4. En. Zakaria b. Ahmad

Tarikh: 14 Julai 2011
Masa: 12.30 sehingga 2.30 petang
Tempat: Dewan Mutahir
Sasaran:Pelajar kelas 5SN, 5SSI, 5PA1, 5PA2 & 5SS
Fasilitator:
1. Penceramah luar
2. Pn.Latifah bt. Hassan
3. En. Zakaria b. Ahmad

Tempat: Bilik Tayang
Sasaran: Pelajar 5K1, 5K2 & 5PD [ Kumpulan Galus SPM 2011]
Fasilitator:
1.Pn. Punitha a/p Rajinram
2.Pn. Zawiyah Bt. Mohd

MBM BULAN JULAI 2011

Penggunaan Kata majmuk

a. Kata majmuk yang terdiri daripada rangkaian kata bebas;
Contohnya: gambar rajah alat tulis bandar raya
tengah hari terima kasih kapal terbang

b. Kata majmuk yang berbentuk istilah khusus;
Contohnya: garis pusat mata pelajaran pita suara

c. Kata majmuk yang mendokong maksud kiasan, simpulan bahasa;
Contohnya: duit kopi anak emas makan angin
kaki ayam buah hati tumbuk rusuk

Sumber rujukan Tatabahasa Dewan Jilid 2; Perkataan

Khamis, 16 Jun 2011

PERTANDINGAN PIDATO NEGERI MELAKA 2011

Pada 14 Jun 2011, saudara Muhammad Zarifuddin b. Zainuddin telah mewakili sekolah bagi menyertai Pertandingan Pidato Ketua Menteri Melaka 2011 peringkat separuh akhir. Pertandingan ini telah diadakan di SMK Bukit Katil, Melaka. En.Zakaria b. Ahmad dan Pn.Jamaliah Bt. Karim antara guru pembimbing yang turut membantu bagi persiapan pertandingan ini. Sebanyak 14 orang peserta peringkat separuh akhir peringkat Negeri Melaka. Hanya 5 peserta terbaik akan dipilih ke peringkat akhir. Nasib tidak menyebelahi saudara Muhammad Zarifuddin kerana tidak terpilih dalam kategori 5 peserta terbaik.
Walau bagaimanapun, tahniah diucapkan kerana berjaya melayakkan diri ke peringkat separuh akhir ini.

Jumaat, 3 Jun 2011

MBM BULAN JUN 2011

Cakna Tatabahasa

Panduan Menggunakan Kata Sendi Yang Umum.

1. akan/terhadap/kepada;
Digunakan selepas kata adjektif yang menyatakan perasaan atau sikap.
Contoh ayat: Dia sangat suka akan durian.

2. bagi/untuk;
Digunakan untuk menentukan sesuatu yang dibezakan daripada yang lain.
Contoh ayat: Hal itu mudah bagi kami.

3. dari;
Digunakan untuk tempat dan masa.
Contoh ayat: Mereka datang dari Sarawak.

4. daripada;
Digunakan untuk orang, perbandingan, asal kejadian, benda abstrak, pertentangan
dan untuk mnenunjukkan keanggotaan.
Contoh ayat: Kain ini daripada sutera.

5. di;
Digunakan untuk tempat.
Contoh ayat: Ali duduk di situ.

Sumber rujukan: Petunjuk Tatabahasa Melayu, Asraf

Sabtu, 14 Mei 2011

SELAMAT HARI GURU 2011

Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara.

Sekitar Sayembara Puisi & Lagu Negeri Melaka

Laporan Sayembara Puisi & Lagu 2011 Negeri Melaka

1. Nama Aktiviti:
Sayembara Puisi & Lagu Peringkat Negeri Melaka

2. Nama Pengelola:
SMK Tun Mutahir, 75350 Batu Berendam, Melaka

3. Tarikh: 6 Mei 2011

4. Tahun: 2011

5. Tempat: Dewan MITC, Ayer Keroh , Melaka

6. Senarai Hakim;

I. En. Sabar b. Hj. Mohd; SMK Iskandar Syah, Melaka.[ Pengawai Teknikal]
II. Tn.Haji Abdul Rani b. Embi; SM Tahfiz Al quran, Chenderah, Melaka
III. En. Hasbullah b. Hj. Salam; IPG Kampus Perempuan Melayu, Melaka
IV. En.Kamarudin b. Katon; SM Sains Muzaffar Syah, Melaka
V. En. Ramli b. Abu, IPG Kampus Perempuan Melayu, Melaka

7. Keputusan rasmi;

Johan : SMK Iskandar Syah, Jasin, Melaka.
Naib Johan : SMK Munshi Abdullah, Batu Berendam Melaka.
Ketiga : SMK Tun Mutahir, Batu Berendam, Melaka

Deklamator Terbaik: SMK Iskandar Syah, Melaka.
Puisi Terbaik : SMK Iskandar Syah, Jasin Melaka.

8. Majlis Penyampaian Hadiah;
Nama Penyampai:
Tn.Hj.Daud b. Abdul, Ketua Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusian, JPM

Kejayaan Pasukan Sayembara Puisi & Lagu 2011

Pasukan Sayembara Puisi & Lagu SMK Tun Mutahir telah menjadi johan peringkat Daerah Melaka Tengah. Pasukan ini dibimbing oleh En.Mohd.Noor Bin Md. Zam dan En. Muhammad Izuan B. Rejab. Pasukan ini dianggotai oleh saudari Mirrah Dzakirah Bt. Mohd. Pouzi, Syahirah Bt.Jalil, Muhammad Azid Hidayat B. Abdullah, Syamirul Akmal B. Gafar, Muhammad Aminurarif B. Jamingan dan Muhammad Nur Iman B. Sahauddin.

Kesungguhan dan komitmen penuh jelas ternampak pada wajah mentor utama, iaitu GC BM En.Mohd. Noor Bin Md. Zam untuk menjadi johan peringkat negeri. Sayembara Puisi & Lagu Peringkat Negeri Melaka telah pun dijalankan pada 6 MEI 2011 bertempat di Dewan MITC Melaka jam 8.30 pagi. Pasukan ini telah berusaha bersungguh-sungguh, namun kejayaan tidak menyebelahi. Walau bagaimanapun kejayaan mendapat tempat ketiga peringkat negeri telah dianggap baik dan sekalung tahniah kepada mentor utama dan pasukan Sayembara Puisi & Lagu SMK Tun Mutahir. Jangan putus asa dan kecewa. Cuba lagi pada tahun hadapan untuk mencapai impian menjadi johan pula.

Disediakan oleh;
Pn.Zawiyah Mohd
KP BM

MBM BULAN MEI

Cakna Tatabahasa:

Penggunaan Kata Ganti Diri Ketiga

i. beliau; Digunakan untuk diri orang ketiga yang kita homati seperti ibu bapa, guru, menteri, dan seumpamanya lagi.
Contoh ayat; Beliau guru saya.

ii. dia; Digunakan untuk diri orang ketiga yang umum seperti rakan sebaya dan orang-orang biasa.
Contoh ayat; Umar datang lewat. Dia didenda oleh guru disiplin.

iii. ia; Digunakan dalam tulisan untuk diri orang ketiga sperti kata ganti dia juga.
Contoh ayat; Tong Seng dihukum gantung kerana ia pengedar dadah.

iv. mereka; Digunakan untuk orang ketiga yang bilangannya lebih daripada seorang.
Contoh ayat; Mereka telah berjaya mengalahkan pasukan bola sepak negeri Kedah.

Peringatan:

1. Kata beliau tidak boleh digunakan secara sembarangan saja,misalnya untuk orang yang tidak dihormati dan untuk binatang.
Contohnya ayat;
Perompak itu telah dibicarakan di mahkamah. Beliau dijatuhi hukuman penjara selama lima tahun. [ Salah]
Perompak itu telah dibicarakan di mahkamah. Ia (atau dia) dijatuhi hukuman penjara selama lima tahun.[ Betul]

2. Kata dia, ia dan mereka tidak boleh digunakan untuk benda atau binatang.
Contoh ayat;
Kucing itu sakit. Ia dibawa ke klinik haiwan. [Salah]
Kucing itu sakit, maka dibawa ke klinik haiwan.[ Betul]

Sumber rujukan: Petunjuk Tatabahasa BM, Asraf

Sabtu, 2 April 2011

Penggunaan " Pelantikan"

pelantikan perbuatan atau upacara melantik: ~ Perdana Menteri telah selesai. Kamus Pelajar Edisi Kedua
pelantikan perbuatan atau upacara melantik: ~ Perdana Menteri telah selesai. Kamus Pelajar
pelantikan perihal, perbuatan, dll melantik: mereka gembira atas ~ Tun Perak menyan­dang jawatan Bendahara; Kamus Dewan Edisi Empat
tauliah 1 pelantikan menjadi wakil dsb; surat pelantikan menjadi wakil dsb. 2 surat yg memberi kuasa kpd seseorang; surat kepercayaan; surat kuasa. ber­tauliah ada tauliahnya: Orang ramai dinasihati supaya mengeluarkan zakat kpd amil yg ~ saja. mentauliahkan memberi tauliah; memberi kuasa (kpd seseorang). pentauliahan per­buatan atau perihal mentauliahkan; penyampaian tauliah: majlis ~ kadet. Kamus Pelajar Edisi Kedua
tauliah 1. pelantikan menjadi wali (wakil dll), surat pelantikan (menjadi wali, wakil, dll): bilakah ada pilihan raya memilih saya jadi ketua kampung, mana ~nya? 2. surat kuasa (sbg wakil dll), surat kepercayaan; bertauliah mempunyai tauliah, ada tauliah-nya: hanya amil-amil yg ~ sahaja yg boleh menerima zakat drpd orang ramai; mentauliahi memberi tauliah kpd;mentauliahkan memberi tauliah, memberi kuasa: adalah yg berteriak ~ kerajaan itu ialah Kelana Jaya Putera;pentauliahan penyampaian (pemberian) tauliah: teman wanitanya tidak dapat ber-samanya di majlis ~ pegawai kadet itu. Kamus Dewan Edisi Empat
tauliah 1 pelantikan menjadi wakil dsb; surat pelantikan menjadi wakil dsb. Kamus Pelajar
perasmian pengisytiharan (pelantikan, pe­nentuan, penetapan, pengangkatan, peng­umum­­an, dll) yg rasmi: masa transisi sesudah ~ ejaan itu akan mengurangi kerugian yg mungkin dideritai; ~ lantikan panitia Bahasa Melayu-Indonesia. Kamus Dewan Edisi Empat
instalasi IB 1. istiadat pelantikan (penabalan dll); 2. perihal mengatur (memasang) alatan rumah dll. Kamus Dewan Edisi Empat
kepakaran pengetahuan dan kemahiran seseorang pakar: Pelantikan beliau sbg pensyarah di universiti itu merupakan satu penghormatan terhadap ~nya dlm bidang bahasa. Kamus Pelajar Edisi Kedua
pemangkatan ark pemberian pangkat, peng­angkatan, pelantikan. Kamus Dewan Edisi Empat

PROGRAM MBM Bulan APRIL 2011

Cakna Tatabasa

1. akhirulkalam
sebagai penutup/akhir

2. anjakan paradigma
peralihan daripada satu lingkungan atau batasan kepada sesuatu yang baru.

3. aspirasi
hasrat/cita-cita

4. dominan
berkuasa/ berpengaruh

5. eksplisit
dengan tepat dan jelas/ tanpa dikias-kias

6. globalisasi
proses yang membolehkan sesuatu aktiviti disebarkan ke peringkat antarabangsa
dengan adanya sistem kemudahan komunikasi, dasar langit terbuka

7. hedonisme
mementingkan keseronokan atau kesenangan hidup

8.heterogen
terdiri daripada berbagai-bagai jenis

9. holistik
bersepadu/ menyeluruh

10.ironi
keadaan atau situasi yang menunjukkan pertentangan atau kesan sebaliknya
antara sesuatu yang dijangkakan dengan yang menjadi hakikatnya

PERTANDINGAN MENGARANG ESEI

Sempena Minggu Bahasa Melayu mulai 4 April 2011 sehingga 9 April 2011, Panitia Bahasa Melayu menganjurkan Pertandingan Mengarang Esei Bahasa Melayu.

Syarat-syarat Pertandingan:
1. Esei yang ditulis hendaklah melebihi 350 patah perkataan.
2. Esei yang ditulis menggunakan komputer hendaklah menggunakan size 12 Arial. Manakala yang ditullis dengan tangan hendaklah menggunakan kertas kajang sekolah.
3. Pertandingan ini terbuka kepada pelajar Tingkatan 3 sehingga Tingkatan 5.
4. Hasil esei hendaklah dihantar kepada Pn.Zawiyah Mohd pada atau sebelum 9 April 2011.
5. Esei tersebut juga boleh diemelkan pada emel Panitia BM; bm.tunmutahir@gmail.com
6. Pertandingan ini terbuka kepada pelajar SMK Tun Mutahir sahaja.
7. Rebutlah peluang ini, hadiah-hadiah menarik menanti.

Tajuk-tajuk esei. Pilih satu tajuk saja.

1. Peranan ICT kepada manusia. Bincangkan.
2. Peranan pelajar dalam memartabatkan bahasa Melayu. Huraikan.
3. Cara-cara memupuk keluarga bahagia. Ulaskan.

Selasa, 29 Mac 2011

NOTA PUISI MODEN ANTOLOGI DIRGAHAYU BAHASAKU

Pelajar Tingkatan Lima boleh mencetak atau memuat turun nota puisi moden apabila melayari Halaman Tingkatan 5.
Harap maklum.

Ahad, 27 Mac 2011

KERTAS KERJA MINGGU BAHASA MELAYU 2011


KERTAS CADANGAN MINGGU BM 2011 -

PROGRAM GILAP PERMATA BM SPM 2011

KERTAS KERJA
PROGRAM GILAP PERMATA SPM 2011
PANITIA BAHASA MELAYU

1.0 PENDAHULUAN

Selaras dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang termaktub dalam Akta Pendidikan 1996, Bahasa Melayu ialah mata pelajaran teras di semua sekolah rendah dan menengah. Akta tersebut mewajibkan Bahasa Melayu diajar 6 waktu seminggu di peringkat sekolah menengah. Namun, kepentingan belajar Bahasa Melayu sering dipandang mudah oleh kebanyakan generasi muda pada hari ini walau pun mata pelajaran ini dijadikan syarat wajib lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) . Kecemerlangan mata pelajaran Bahasa Melayu juga menjadi kayu pengukur kecemerlangan sesebuah sekolah. Untuk memastikan kecemerlangan sekolah, emosi para pelajar perlu diutamakan, justeru menyedari akan hakikat ini, Panitia Bahasa Melayu bersetuju untuk menamakan program ini sebagai Program Gilap Permata BM SPM 2011 iaitu mengadakan kelas tambahan untuk calon-calon pelajar cemerlang SPM dengan bimbingan guru.

2.0 RASIONAL
Memandangkan kuantiti pelajar yang lulus sukar dicapai kerana beberapa faktor, maka program ini diharap dapat meningkatkan kualiti pencapaian A dalam SPM 2011 . Program ini perlu untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada pelajar yang disasarkan cemerlang SPM. Selain itu, dapat mengeratkan hubungan antara pelajar dengan guru bagi menimbulkan rasa selesa kepada pelajar dan memudahkan guru untuk memberi tumpuan kepada aspek-aspek kelemahan pelajar dengan lebih terperinci setelah komunikasi dua hala yang berkesan antara kedua-duanya wujud kerana kumpulan pelajar yang kecil.

3.0 TEMA

“ Murid Cemerlang, Sekolah Gemilang”

4.0 MATLAMAT

4.1 Melahirkan pelajar cemerlang Bahasa Melayu.

4.2 Meningkatkan prestasi Panitia Bahasa Melayu

5.0 OBJEKTIF

5.1 Mengeratkan hubungan antara guru dan pelajar.

5.2 Mengesan kelemahan pelajar supaya dapat mengambil tindakan awal
memperbaiki prestasi.

5.3 Mengatasi kesilapan yang mudah dilakukan.

5.4 Melahirkan pelajar yang berkeyakinan dalam menjawab soalan
peperiksaan.

5.5 Meningkatkan kualiti pencapaian mata pelajaran Bahasa Melayu dalam
peperiksaan SPM.


6.0 TARIKH

6.1 Program Gilap Permata BM SPM akan bermula pada minggu ganjil Mac sehingga Oktober 2011, pada setiap hari Jumaat dari jam 3.00 petang sehingg 4.30 petang.

7.0 TEMPAT

Rujuk Lampiran 1

8.0 SASARAN

8.1 Calon cemerlang Panitia Bahasa Melayu SPM seramai 62 orang

Rujuk Lampiran 1

9.0 KEWANGAN

Peruntukan Panitia Bahasa Melayu anggaran RM 415.00 untuk membeli Buku Latihan SPM Bahasa Melayu dan hadiah galakan.

Sila rujuk lampiran 2.

12.0 ORGANISASI

Sila rujuk Lampiran 3 (i) dan 3(ii)

13.0 TENTATIF PROGRAM


PERJUMPAAN
HARI & MASA
AKTIVITI


Perjumpaan
Jumaat
(Selepas waktu sekolah)
3.00 – 4.30 petang

- Kelas Tambahan Terancang

- Perjumpaan Individu

14.0 PENUTUP

Objektif program ini sungguh murni dan rasional. “ Jika kita tidak dapat menjadi suria menerangi alam semesta pada waktu siang hari, cukuplah kita mampu menjadi bintang menerangi dan memandu pengembara di padang pasir pada malam hari”, rentetan daripada kata-kata menarik itu adalah diharapkan Program Gilap Permata Bahasa Melayu SPM mampu menjadi wadah dalam melahirkan pelajar-pelajar yang cemerlang.

LAMPIRAN 2

ANGGARAN PERBELANJAAN
PROGRAM GILAP PERMATA
BAHASA MELAYU
SPM 2011

Pendapatan

1. Peruntukan mata pelajaran teras Panitia Bahasa Melayu & Kecemerlangan Negeri Melaka.

Perbelanjaan

1. Buku Latih-Tubi BM SPM RM4.50 senaskah

70 naskah RM315.00

2. Hadiah Galakan RM100.00


Jumlah Anggaran Keseluruhan RM415.00

LAMPIRAN 3 (i)

JAWATANKUASA KERJA
PROGRAM GILAP PERMATA
BAHASA MELAYU
SPM 2011


Pengerusi : Tuan Haji Zolkaply Bin Yunus
Pengetua
SMK Tun Mutahir


Naib Pengerusi : Pn.Hjh.Kamariah Bt. Othman
Guru Penolong Kanan Kurikukulum
SMK Tun Mutahir


Penyelaras : Puan Latifah Bt. Hassan
Guru Kanan Mata Pelajaran ( Bahasa )
SMK Tun Mutahir

Setiausaha : Puan Zawiyah Binti Mohd
Ketua Panitia Bahasa Melayu

Guru Pembimbing :

1. Pn.Zawiyah Bt. Mohd
2. Pn.Latifah Bt. Hassan
3. En.Zakaria Bin Ahmad

SENARAI NAMA PELAJAR PROGRAM GILAP PERMATA BM SPM 2011

SENARAI NAMA GILAP PERMATA BM SPM 2011 -

Isnin, 14 Mac 2011

LAGU BAHASA JIWA BANGSA

Di Sebalik Teknik Menjawab BM PMR & SPM 2011

Di Sebalik Bengkel Komsas BM SPM 2011

Kumpulan Puisi Lama & Moden, Pn.Latifah Hassan membimbing kerja kumpulan.
Pn.Jamaliah Karim, fasilitator Kumpulan Cerpen
Cikgu Kamarudin Abu Bakar, fasilitator Kumpulan Drama
Guru-guru menengah rendah, Pn.Zaida dan Pn.Norhayati turut memantau kerja murid.
Pn. Zawiyah Mohd memberi bimbingan kepada pelajar.
Jelas kesungguhan Teo dan Mimi membincangkan tugasan.
Wakil kumpulan puisi, Muh.Zarifuddin Zainuddin melaporkan hasil perbincangan.
Terima kasih Pn. Latifah Hassan berkongsi kemahiran dan ilmu kepada calon SPM
Badan dah letih, perut dah berbunyi tapi masih setia mendengar.
Hai! Rasyad tulisan di kertas besar tuuu masih tak nampak ke?
Cikgu Punitha, apa yang dipandang....... fokus mendengar.

Khamis, 10 Mac 2011

Teknik Menjawab BM PMR & SPM 2011

Teknik Menjawab Kertas Bahasa Melayu PMR dan SPM 2011 akan dilaksanakan berdasarkan ketetapan beriku;

Hari: Isnin
Masa: Teknik Menjawab BM SPM pada jam 8.00 pagi sehingga 10.00 pagi
Teknik Menjawab BM PMR pada jam 10.30 pagi sehingga 12.30 pagi

Semua pelajar Tingkatan 3 dan 5 diwajibkan hadir.

Program Perbengkelan KOMSAS BM SPM 2011 akan dijalankan pada jam 10.30 sehingga 4.00 petang.

Kumpulan Perbengkelan & Tempat Berbengkel:

1. Kumpulan 1: Kelas 5K2 [ Novel]
2. Kumpulan 2: Kelas 5K1 [Puisi lama & moden]
3. Kumpulan 3: Kelas 5SS [ Prosa Tradisional]]
4. Kumpulan 4: Kelas 5PA2 [Prosa moden; cerpen]
5. Kumpulan 5: Kelas 5PA1 [ Drama]

Peserta Perbengkelan 101 orang. Senarai nama kumpulan akan diedarkan pada hari perbengkelan.

SELAMAT BERBENGKEL. Terima kasih kepada semua guru Bahasa Melayu yang akan menjayakan program ini.

Isnin, 7 Mac 2011

KUIZ PERIBAHASA MELAYU

SOALAN KUIZ PERIBAHASA: BAHASA MELAYU
Bincang jawapan anda dengan guru Bahasa Melayu anda.
1. Nyatakan 3 simpulan bahasa yang menggunakan perkataan anak di dalamnya.
i.
ii.
iii.

2. Nyatakan 4 peribahasa yang menggunakan nama binatang :
i.
ii.
iii.
iv.

3. Nyatakan 2 peribahasa yang menggambarkan semangat bekerjasama.
i.
ii.

4. Nyatakan 5 peribahasa yang menggambarkan sikap negatif manusia.
I.
II.
III.
IV.
V.

5. Nyatakan maksud peribahasa berikut :
i. Perang dingin
ii. Alah bias tegal biasa
iii. Melepaskan batuk di tangga
iv. Mencurah air ke daun keladi.
v. Bulan di pagar bintang
vi. Menanam tebu di pinggir bibir

6. Nyatakan 5 kata hikmat yang biasa digunakan untuk menjayakan kempen dan dasar kerajaan.
i.
ii.
iii.
iv
v.

[Disediakan oleh Pn.Latifah Bt. Hassan]

Khamis, 3 Mac 2011

Perhatian Kepada Pelajar Tingkatan 4 & 5

Pelajar boleh mendapatkan nota KOMSAS iaitu novel dan nota prosa tradisional dengan menjelajah tapak-tapak tingkatan pada blog ini. Harap maklum.

PROGRAM MBMMBI

"Membetulkan Yang Biasa, Membiasakan Yang Betul"
Cakna Tatabahasa

i. anti sosial sepatutnya dieja antisosial
ii. dwi bahasa sepatutnya dieja dwibahasa
iii. pra-siswazah sepatutnya dieja prasiswazah
iv. pro aktif sepatutnya dieja proaktif
v. pro Barat sepatutnya dieja pro-Barat
vi. tata susila sepatutnya dieja tatasusila
vii. 50 an sepatutnya dieja 50-an
viii. hambaMu sepatutnya dieja hamba-Mu
ix. memporakperandakan sepatutnya dieja memporak-perandakan
x. ramah tamah sepatutnya dieja ramah-tamah

Ahad, 20 Februari 2011

PROGRAM MBMMBI

CAKNA TATABAHASA:
" Betulkan Yang Biasa, Biasakan Yang Betul"

1. kedua adiknya sepatutnya kedua-dua adiknya
2. segala aduan-aduan sepatutnya segala aduan
3. surat dari pihak berkuasa sepatutnya surat daripada pihak berkuasa
4.tertumpu kepada sepatutnya tertumpu pada
5. tiada didiami sepatutnya tidak didiami

Program Perbengkelan KOMSAS BM SPM 2011 [14 Mac 2011]

Khamis, 27 Januari 2011

PROGRAM MBMMBI

" Betulkan Yang Biasa, Biasakan Yang Betul"
Sedarkah kita?

a. atlit  ejaan yang betul  atlet
b. aturcara ejaan yang betul atur  cara
c. bowling ejaan yang betul boling
d. buffet ejaan yang betul bufet
e.beserta ejaan yang betul berserta
f. mengenengahkan ejaan yang betul mengetengahkan
g. mempastikan ejaan yang betul memastikan
h. mengkagumkan ejaan yang betul mengagumkan
i. semua guru-guru ejaan yang betul semua guru
j. mengenepikan ejaan yang betul mengetepikan

Sumber rujukan: DBP

Makluman Terkini Semua Guru BM

Jabatan Pelajaran Melaka dengan kerjasama pihak DBP telah menganjurkan Kursus Pendedahan Karya Baharu KOMSAS BM Tingkatan 2 & 5 Peringkat Negeri Melaka;
Tarikh: 26 sehingga 27 Januari 2011
Tempat: Bilik Mesyuarat Al-Khindi, BTP Bukit Katil Melaka
Ketua Panitia BM telah mewakili sekolah untuk kursus tersebut. Saya ingin berkongsi ilmu hasil dapatan daripada kursus selama 2 hari tersebut. Antara perkara yang disentuh;
a. Format penulisan RPH; ditaklimatkan oleh En. Mat Hassan B. Abdullah, Pegawai Unit Bahasa JPM
b. Teknik-teknik & modul P&P KOMSAS BM Tingkatan 2 & 5
Diharapkan semua guru BM dapat mengikut format penulisan yang turut dilampirkan. Segala pertanyaan tentang bahan kursus, sila berhubung dengan saya. Latihan dalaman akan dijalankan oleh pihak panitia berkaitan kursus yang saya hadiri. Jangkaan tarikh latihan dalaman pada14 Mac 2011 mulai jam 8.00 pagi bertempat di sekolah. Sebarang perubahan akan akan dimaklumkan menerusi blog panitia.

Pesanan: gunakan CD KOMSAS untuk membantu P&P kerana terdapat nota  dan modul disediakan.

SANTAPAN MINDA......
Sekadar renungan!!!!!

Seloka Nasihat

Duduk atas bangku
baik tingkah laku
hadap papan hitam
jangan buat ragam

Jangan buat bising
nanti kena tengking
jangan buat jahat
nanti kena sebat

Kalau masih degil
nanti kena kutil
kalau haru biru
faham jadi celaru

Hadap muka guru
Faham terpaku...


Disediakan oleh: Zawiyah Mohd

Jumaat, 21 Januari 2011

ULBS BAHASA MELAYU 2011

PEMBERITAHUAN UJIAN LISAN BERDASARKAN SEKOLAH (ULBS) BAHASA MELAYU 2011

Kepada,
Ibubapa/Penjaga
Pelajar Tingkatan 4 & 5
SMK Tun Mutahir
75350 Batu Berendam
Melaka.

Tuan,

PEMBERITAHUAN UJIAN LISAN BERDASARKAN SEKOLAH (ULBS) BAHASA MELAYU 2011

Dengan segala hormatnya, pekara di atas adalah dirujuk, berdasarkan kepada surat LPM LP SPM.BIL.10/2002 adalah merupakan Ujian Lisan Berdasarkan Sekolah (ULBS). Ini adalah salah satu kompenan pentaksiran yang dikendalikan oleh pihak sekolah dan pentaksirannya dilaksanakan oleh guru-guru mata pelajaran secara berterusan dalam proses pembelajaran dan pengajaran.

2. Pelajar Tingkatan 4 mulai Januari sehingga November 2011 dan Tingkatan 5 akan ditaksir mulai Januari sehingga Mei 2011 di peringkat sekolah oleh guru-guru Bahasa Inggeris masing-masing. Pelajar-pelajar Tingkatan 4 akan ditaksir sebanyak 2 kali, manakala pelajar-pelajar Tingkatan 5 akan ditaksir hanya sekali.

3. Pihak sekolah berharap agar pihak ibu bapa atau penjaga dapat memberi bimbingan dan panduan kepada anak-anak jagaan tuan/puan dalam membuat persediaan menghadapi ULBS ini kerana sijil akan dikeluarkan oleh pihak sekolah kepada pelajar-pelajar yang melengkapkan ULBS ini.

Sekian, terima kasih.

“BERKHIDMAT UNTUK NEGARA”

Saya yang menurut perintah,



HJ ZOLKAPLY BIN YUNUS
Pengetua,
SMK Tun Mutahir,
Batu Berendam,
Melaka.

Isnin, 10 Januari 2011

SASTERAWAN TUN MUTAHIR



      Cikgu Mohd.Noor B. Md.Zam, salah seorang Guru Cemerlang Bahasa Melayu ialah seorang yang aktif berkarya puisi lama mahupun moden. Hasil keringat beliau telah berjaya mendapat tempat untuk disiarkan dalam sebuah majalah akademik yang diterbitkan oleh DBP. " Langit Mu Tiada Bersangga " diterbitkan dalam Majalah Dewan Sastera. Tahniah! Teruskan  berkarya.

Ahad, 9 Januari 2011

Mesyuarat Panitia Bahasa Melayu Kali Pertama 2011

         Mesyuarat Panitia Bahasa Melayu Kali Pertama 2011 telah diadakan pada hari Sabtu 8 Januari 2011, jam 8.00 pagi di Bilik Gerakan SMK Tun Mutahir. Mesyuarat pada kali ini turut dihadiri oleh Tuan Hj.Zolkaply B. Yunus, Pengetua dan Pn.Hjh.Kamariah Bt. Othman, GPK 1. Kehadiran ahli seramai 16 orang termasuklah GKMP Bahasa, Pn.Latifah Bt. Hassan. Sebagai menyahut dasar sekolah menggalakkan inovasi dalam kalangan guru, Panitia Bahasa Melayu merancang beberapa projek inovasi dan salah satu daripadanya adalah pembinaan blog Panitia Bahasa Melayu SMK Tun Mutahir untuk dijadikan medan mencurah dan berkongsi idea guru-guru Bahasa Melayu dengan para pelajar di sekolah ini. Semoga bahan-bahan yang dipaparkan dapat menyumbang ke arah pencapaian Visi   Sekolah SMK Tun Mutahir Sekolah Yang Berdaya Saing Di Negeri Melaka Menjelang 2015.


      Semoga langkah pertama membina blog Panitia Bahasa Melayu SMK Tun Mutahir menjadi laluan atau jalan untuk melangkah maju ke depan. Terima kasih semua ahli Panitia Bahasa Melayu & pihak pentadbir sekolah.


Catatan;
Pn.Zawiyah Bt. Mohd
KP Panitia Bahasa Melayu