Isnin, 8 Disember 2014

Info Bersama : Lumba haram

Lumba haram merupakan satu bentuk perlumbaan bermotor  yang diadakan di atas jalan raya awam tanpa kebenaran daripada pihak berkuasa. Lumba haram sering diadakan di kawasan bandar, luar bandar ataupun di kawasan perindustrian tanpa mengira keadaan trafik, tetapi biasanya diadakan pada waktu tengah malam. Kegiatan lumba haram adalah salah di sisi undang-undang jalan raya kerana membahayakan nyawa pengguna jalan raya yang lain serta nyawa pelumba haram itu sendiri. Di Malaysia, menonton perlumbaan haram juga merupakan satu kesalahan kerana akan menggalakkan pelumba haram untuk terus berlumba tanpa menghiraukan keselamatan pengguna jalan raya yang lain. Namun apa yang membimbangkan semua pihak, gejala ini masih berleluasa bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan.Terdapat pelbagai cara untuk mengatasi masalah ini tetapi menemui jalan buntu. Hal ini disebabkan masih terdapat  punca-punca yang menghalang usaha tersebut.
        Salah satu punca gejala lumba haram berlanjutan sehinga kini adalah disebabkan oleh pengubahsuaian bahagian kenderaan tanpa kawalan daripada pihak berkuasa. Para pelumba biasanya akan mengubahsuai kenderaan sesuka hati dengan tanpa mengikut arahan yang telah ditetapkan. Kenderaan yang telah diubah suai digunakan untuk berlumba bukan sahaja di jalan raya kawasan bandar tetapi juga di kawasan kampung. Dengan bunyi bising, penduduk kampung yang tidurnya hampir lena akan terkejut apabila mendengar deruman kenderaan tersebut. Walaupun telah ditegur berulang kali tetapi jawapannya tetap negatif. Mereka semakin menunjukkan ‘kejantanan’ dengan berlumba tidak sahaja pada malam minggu, sebaliknya pada malam-malam biasa. Mereka sanggup membazirkan wang asalkan kenderaan berkuasa tinggi dan dipandang bergaya di mata masyarakat. Sebagai contoh, bahagian kereta yang  diubah suai termasuklah memasang enjin  dan pengecas turbo tanpa kebenaran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Di samping itu, sistem nitrus oksida turut dipasang sungguhpun dilarang oleh pihak kerajaan. Oleh itu, pengubahsuaian yang tidak terancang akan mendatangkan impak yang buruk kepada semua pihak.
        Seterusnya, pengaruh media massa juga menjadi punca mengapa gejala lumba haram masih berlaku di negara ini. Pengaruh daripada barat khususnya sering menyiarkan bahan-bahan yang berunsurkan rempit ataupun aksi pelumba yang melampaui batas dalam media cetak mahupun media elektronik. Kemasukan bahan ini yang tiada tapisan yang terperinci daripada Lembaga Penapisan Filem Negara (FINAS) akan mudah mempengaruhi remaja agar bangkit untuk mencuba aksi tersebut akibat  daripada perasaan ingin mencuba dan keghairahan yang tidak boleh dibendung lagi. Secara endah tak endah, teguran ibu bapa dianggap enteng oleh remaja yang sudah gian untuk berlumba. Antara filem dan drama lumba haram yang menyumbang kepada kewujudan gejala sosial ini termasuklah ‘KL Menjerit’, ‘Initial D’, dan ‘The Fast and The Furious: Tokyo Dift’. Walaupun penerbit filem-filem tersebut telah memaparkan amaran agar tidak meniru aksi-aksi lumba haram di dalam filem mereka, namun ramai pelumba haram tidak mengendahkan amaran tersebut. Bak kata pepatah, seperti mencurahkan air ke daun keladi. Natijahnya, pemilihan bahan media yang tidak sesuai akan memudaratkan nyawa insan yang alpa akan kesan daripada apa yang dilakukan oleh mereka.
        Punca lain yang mendorong berlakunya gejala lumba haram adalah daripada pengaruh rakan sebaya. Tidak dinafikan ibu bapa yang terlalu materialistik pada hari ni memberi tamparan hebat buat anak-anak yang sentiasa memerlukan perhatian. Oleh sebab bosan, kebanyakan remaja menganggap rakan sebagai orang yang rapat dengan diri mereka. Kawan yang baik, boleh membimbing mereka ke arah kebaikan. Namun, jika tersilap memilih kawan, akan mempengaruhi mereka kepada perkara-perkara yang buruk seperti lumba haram. Bagi kebanyakan remaja yang terlalu taksub mempercayai rakan mereka, dengan mudah akan mengikut apa yang dilakukan oleh rakan-rakan. Ada di antara mereka lupa bahawa kadang kala tidak semua yang diikuti adalah perkara yang menguntungkan, lebih-lebih lagi apabila rasa tercabar untuk menunjukkan ‘kejantanan’ mereka. Kesannya, ramai yang terjebak dengan gejala sosial seperti lumba haram yang kian membimbangkan hati semua pihak. Hal ini terbukti apabila akhbar Utusan Melayu baru-baru ini memaparkan gambar anak-anak zaman sekarang yang semakin gila berlumba tanpa menghiraukan keselamatan diri dan masyarakat. Bagi mereka, kepuasan hati adalah yang lebih utama. Jadi tidak syak lagi bahawa pengaruh rakan sebaya yang negatif mudah menjerat remaja ke kancah lumba haram yang tidak  memberi sedikit pun keuntungan.
        Bagi membanteras gejala lumba haram yang semakin meruncing ini, pelbagai cara mengatasinya wajar dilaksanakan. Antara cara yang boleh menangani gejala ini adalah dengan menguatkuasakan undang-undang negara. Gejala lumba haram ini terletak di bawah seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang perlu diperketatkan lagi. Jadi sewajarnya seseorang remaja yang melakukan aktiviti lumba haram ini dikenakan hukuman yang setimpal dengan perlakuan mereka. Antara bentuk hukuman yang boleh dikenakan adalah seperti denda dan hukuman penjara untuk menyedarkan  mereka yang acuh tak acuh terhadap peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa. Setiap remaja yang menyertai perlumbaan haram haruslah digantung permit atau lesen memandu demi menjaga keselamatan diri sekaligus mengekalkan imej bersih negara daripada sebarang bentuk perlumbaan yang boleh mengundang kecelakaan kepada semua pihak. Pihak penganjur lumba haram juga boleh dikenakan hukuman yang setimpal sekiranya disabitkan kesalahan oleh pihak berwajib. Tidak guna untuk menyesal di kemudian hari apabila ditangkap, disaman, mahupun di penjarakan.
        Malahan, cara lain untuk mengelakkan berlakunya gejala ini adalah dengan mengadakan seminar, kursus atau bengkel agar memberi kemantapan berfikir tentang risiko lumba haram. Pemantapan berkenaan gejala ini memerlukan pemantauan dan tugas memantau ini dapat dilaksanakan melalui bengkel, seminar dan kursus yang sesuai. Walaupun usaha yang besar telah dilakukan, tidak bermakna tiada kesunguhan                di peringkat kementerian. Pihak Polis Diraja Malaysia pula  haruslah sentiasa memberikan khidmat nasihat kepada masyarakat, khususnya golongan remaja mengenai gejala lumba haram dengan lebih efisyen. Pelajar-pelajar sekolah boleh didedahkan berkenaan hal ini melalui seminar-seminar yang dianjurkan oleh pihak sekolah dengan kerjasama pihak polis. Akibatnya, gejala lumba haram dapat dilumpuhkan sedikit demi sedikit jika dipupuk dari akar umbinya. Oleh yang demikian, masyarakat akan celik minda dan menyedari betapa bahayanya lumba haram kepada mereka yang membawa padah dalam sekelip mata sahaja.
        Di samping itu, cara lain yang boleh dilakukan adalah seperti menyediakan kemudahan insfrastruktur yang lebih canggih untuk pihak polis. Melalui kenderaan yang berkuasa tinggi seperti motosikal dan kereta, pihak polis dapat melakukan rondaan dengan lebih kerap dan berkesan untuk membanteras gejala ini. Jika dilihat, selama ini pihak polis hanya menggunakan kenderaan tajaan kilang-kilang yang kurang laju dan berkuasa rendah. Oleh itu, kenderaan yang canggih ini akan mempercepatkan lagi pihak polis mengejar pelumba-pelumba haram. Selain itu, profesion polis juga akan dijulang apabila dapat menghapuskan gejala lumba haram yang tidak memberi faedah kepada masyarakat. Penggunaan kamera elektronik juga menbantu pihak polis memerangkap pelumba haram yang memandu melebihi had laju. Pengenalan Sistem Laporan Kecemasan Polis (PERS) dan talian Rakan Cop boleh membantu menyelesaikan gejala ini. Melalui anjakan paradigma yang dibuat sudah pasti gejala lumba haram dapat dipadamkan terus dari kamus kehidupan masyarakat agar sentiasa hidup bebas dari kancah kemusnahan ini.
      

2 ulasan:

  1. ayat ayat yang terbaik dan ia menolong sy utk assigment sy..tq so much

    BalasPadam
  2. Lepas lesen digantung (2 tahun)... Adakah untuk mendapatkan lesen semula, kita kena ambil semula dari bawah (L,ujian memandu) atau terus boleh diperbarui?

    BalasPadam