Majlis mengumumkan ketibaaan Yang Berbahagia Prof. Dato’ Dr. Aminah Bt
Ayob, Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris masuk ke dewan SITC.
Seterusnya, nyanyian lagu Negaraku dan Ibu Kandung Suluh Budiman.
Bukan lebah sebarang lebah,
Lebah bersarang di pohon nangka,
Bukan sembah sebarang sembah,
Sembah pusaka adat melayu.
Sungguh jelita si anak dara,
Tersusun alis betapanya murni,
Bismillah kata pembuka bicara,
Dalam majlis berseri ini.
Yang Berbahagia Prof. Dato’ Dr. Aminah Bt Ayob,
Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris, Yang Berbahagia Prof. Datuk
Dr. Abdul Latif Bin Abu Bakar merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah Institut
Seni Malaysia Melaka (ISSMA), Yang dihormati Tn. Hj. Mohd Yassin selaku Mantan
MPPM, pengarah program, saudara Mohd Lutfi Bin Majid, barisan pensyarah Jabatan
Kesusasteraan Melayu Universiti Pendidikan Sultan Idris, serta para pelajar
sastera anak kandung suluh budiman sekalian. Assalamualaikum dan salam
sejahtera.
Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah
s.w.t kerana dengan hinayahnya dapat kita bersama-sama berkumpul pada Majlis
Penutup program Simfoni Cinta Warisan UPSI 2008. Bagi memberkati majlis kita pada malam ini,
marilah kita bersama-sama mengaminkan bacaan doa yang akan disampaikan oleh
Saudara Zainal Alrabbi Bin Muaz .
*Bacaan
doa disampaikan.
Amin-amin, Ya Robbal alamin, moga-moga majlis kita
malam ini mendapat berkat dari Robbul Izzati.
Para hadirin yang dihormati,
Malaysia merupakan sebuah negara yang kaya dengan
pelbagai unsur-unsur kesenian yang sangat unik. Antaranya, budaya berpantun,
bernazam, tarian dondang sayang dan lain-lain lagi. Ternyata, warisan ini
semakin hari semakin ditelan zaman tanpa ada pelapisnya. Bagi membangkitkan
kembali semangat mencintai seni warisan ini, kita perlu memupuk minat kepada
pelbagai unsur seni dan budaya terutamanya warisan turun-temurun nenek moyang
kita. Oleh yang demikian, pihak Universiti Pendidikan Sultan Idris telah mengambil
langkah inisiatif untuk mengadakan pelbagai aktiviti untuk menghidupkan kembali
seni warisan yang semakin ditelan zaman ini. Tercetuslah idea merealisasikan
program Simfoni Cinta Warisan UPSI 2008 ini yang sinonim dengan hasrat pihak
universiti dan kerajaan. Untuk makluman hadirin semua, Simfoni Cinta Warisan UPSI
2008 ini telah diadakan pada 27 Julai hingga 5 Ogos 2008 dengan kerjasama pihak
Institut Seni Malaysia Melaka. Terima kasih diucapkan kepada pihak Institut
Seni Malaysia Melaka kerana sudi bekerjasama dengan pihak universiti bagi
menanamkan kembali benih mencintai warisan kita dalam kalangan mahasiswa/i pada
hari ini.
Baiklah, sebagai ucapan pemanis majlis, dengan ini
majlis mempersilakan saudara Mohd Lutfi Bin Majid selaku pengarah program
Simfoni Cinta Warisan Universiti Pendidikan Sultan Idris untuk menyampaikan
sepatah dua kata. Majlis dengan penuh takzim mempersilakan.
*Ucapan
pengarah program.
Terima kasih diucapkan kepada saudara Mohd Lutfi
Bin Majid di atas ucapan beliau sebentar tadi. Sebagai imbasan kita semua,
unsur seni dan budaya banyak mempamerkan
perasaan seseorang penggiat seni itu. Segala perasaan ini disampaikan
dengan menggunakan pantun atau puisi klasik masyarakat Melayu . Sebagai
makluman, banyak aktiviti yang diadakan dalam program yang unik ini seperti
Pertandingan Deklamasi Puisi, Pertandingan Nyanyian Lagu Asli, Bengkel Puisi
dan Sastera, dan beberapa lagi aktiviti sampingan seperti permainan rakyat.
Seterusnya,majlis dengan ini berbesar hati
menjemput Yang Berbahagia Prof. Dato’ Dr. Aminah Binti Ayob merangkap Naib
Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris untuk menyampaikan ucapan beliau
sekaligus merasmikan Majlis Penutup program Simfoni Cinta Warisan UPSI 2008. Dipersilakan.
*Ucapan
Yang Berbahagia Prof. Dato’ Dr. Aminah Binti Ayob.
Terima kasih kepada Prof. Dato’ Dr. Aminah Binti
Ayob di atas ucapan beliau sebentar tadi.
Sekadar renungan :
Hinggap si Nuri di pohon angsana,
Terbang Sang Helang mencari kedidi,
Hasrat murni kian tersirna,
Teruskah hilang santunnya budi?
Sidang hadirin yang dihormati sekalian,
Bagi menghangatkan lagi majlis pada malam ini,
kita beralih pula kepada sebuah persembahan yang sangat hebat iaitu persembahan
tarian Dondang Sayang oleh KD Dancers, kumpulan kesenian dan kebudayaan
Universiti Pendidikan Sultan Idris dan diikuti dengan bacaan nazam oleh Tn. Hj. Mohd
Yassin selaku Mantan MPPM. Selamat berhibur.
* Tarian
Dondang Sayang dan Nazam.
Terima kasih diucapkan kepada Tn. Hj. Mohd Yassin dan
KD Dancers di atas persembahan sebentar tadi. Banyak ilmu yang kita boleh
manfaatkan tentang warisan budaya melayu ini yang menjadi khazanah yang tidak
ternilai harganya. Dengan selingan persembahan sebentar tadi kita juga dapat mendalami
pelbagai input yang berguna untuk masa hadapan terutama untuk generasi
mendatang. Sebagai tanda kenang-kenangan, dengan ini majlis menjemput saudara
Mohd Lutfi Bin Majid mengiringi Yang Berbahagia Prof. Dato’ Dr. Aminah Binti
Ayob untuk menyampaikan cenderahati kepada tetamu-tetamu jemputan.
Dipersilakan :
1. Yang Berbahagia Prof. Datuk Dr. Abdul Latif Bin
Abu Bakar.
2. Tn. Hj. Mohd Yassin.
Terima kasih kepada Yang Berbahagia Dato’ kerana
sudi menyampaikan cenderahati.
Sekali lagi majlis mempersilakan saudara Mohd
Lutfi Bin Majid utuk menyampaikan cenderahati kepada Yang Berbahagia Prof.
Dato’ Dr. Aminah Binti Ayob di atas kesudian beliau hadir menyeri majlis pada
malam ini. Dipersilakan.
Dengan berakhirnya penyampaian cenderahati tadi,
tamatlah sudah majlis kita pada malam
ini. Diharapkan semua terhibur dan dapat menghayati warisan bangsa yang tak
luput dek zaman ini. Sedar tak sedar
sudah hampir dua jam majlis kita pada malam ini. Bak kata orang :
Kalau memanjat sudah sampai ke puncak,
Kalau menurun sudah sampai ke lembah,
Kalau terjun sudah sampai ke tanah,
Kalau berenang sudah sampai ke pantai,
Kalau mudik sudah sampai ke hulu,
Kalau hanyut sudah sampai ke kuala,
Umpama belayar sudah sampai ke pulau,
Umpama berjalan sudah sampai ke batas,
Yang termimpi-mimpi sudah terjadi,
Yang terbayang-bayang sudah dipandang.
Kalau ada wajah yang tersalah pandang,
Kalau ada nama yang tersalah sebut,
Kalau ada gelar yang tersalah ucap,
Kalau ada yang duduk disalah tempat,
Kami minta ampun,
Kami minta maaf.
Petiklah gambus tanda berbudi,
Gendang dipalu dari Beruas,
Saya mengemudi sampai di sini,
Semoga hadirin jadi terpuas.
Sekian, wabillahhitaufikwalhidayah, wassalamualaikum
w.b.t
Tiada ulasan:
Catat Ulasan