Isnin, 8 Disember 2014

Info Bersama : Lumba haram

Lumba haram merupakan satu bentuk perlumbaan bermotor  yang diadakan di atas jalan raya awam tanpa kebenaran daripada pihak berkuasa. Lumba haram sering diadakan di kawasan bandar, luar bandar ataupun di kawasan perindustrian tanpa mengira keadaan trafik, tetapi biasanya diadakan pada waktu tengah malam. Kegiatan lumba haram adalah salah di sisi undang-undang jalan raya kerana membahayakan nyawa pengguna jalan raya yang lain serta nyawa pelumba haram itu sendiri. Di Malaysia, menonton perlumbaan haram juga merupakan satu kesalahan kerana akan menggalakkan pelumba haram untuk terus berlumba tanpa menghiraukan keselamatan pengguna jalan raya yang lain. Namun apa yang membimbangkan semua pihak, gejala ini masih berleluasa bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan.Terdapat pelbagai cara untuk mengatasi masalah ini tetapi menemui jalan buntu. Hal ini disebabkan masih terdapat  punca-punca yang menghalang usaha tersebut.
        Salah satu punca gejala lumba haram berlanjutan sehinga kini adalah disebabkan oleh pengubahsuaian bahagian kenderaan tanpa kawalan daripada pihak berkuasa. Para pelumba biasanya akan mengubahsuai kenderaan sesuka hati dengan tanpa mengikut arahan yang telah ditetapkan. Kenderaan yang telah diubah suai digunakan untuk berlumba bukan sahaja di jalan raya kawasan bandar tetapi juga di kawasan kampung. Dengan bunyi bising, penduduk kampung yang tidurnya hampir lena akan terkejut apabila mendengar deruman kenderaan tersebut. Walaupun telah ditegur berulang kali tetapi jawapannya tetap negatif. Mereka semakin menunjukkan ‘kejantanan’ dengan berlumba tidak sahaja pada malam minggu, sebaliknya pada malam-malam biasa. Mereka sanggup membazirkan wang asalkan kenderaan berkuasa tinggi dan dipandang bergaya di mata masyarakat. Sebagai contoh, bahagian kereta yang  diubah suai termasuklah memasang enjin  dan pengecas turbo tanpa kebenaran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Di samping itu, sistem nitrus oksida turut dipasang sungguhpun dilarang oleh pihak kerajaan. Oleh itu, pengubahsuaian yang tidak terancang akan mendatangkan impak yang buruk kepada semua pihak.
        Seterusnya, pengaruh media massa juga menjadi punca mengapa gejala lumba haram masih berlaku di negara ini. Pengaruh daripada barat khususnya sering menyiarkan bahan-bahan yang berunsurkan rempit ataupun aksi pelumba yang melampaui batas dalam media cetak mahupun media elektronik. Kemasukan bahan ini yang tiada tapisan yang terperinci daripada Lembaga Penapisan Filem Negara (FINAS) akan mudah mempengaruhi remaja agar bangkit untuk mencuba aksi tersebut akibat  daripada perasaan ingin mencuba dan keghairahan yang tidak boleh dibendung lagi. Secara endah tak endah, teguran ibu bapa dianggap enteng oleh remaja yang sudah gian untuk berlumba. Antara filem dan drama lumba haram yang menyumbang kepada kewujudan gejala sosial ini termasuklah ‘KL Menjerit’, ‘Initial D’, dan ‘The Fast and The Furious: Tokyo Dift’. Walaupun penerbit filem-filem tersebut telah memaparkan amaran agar tidak meniru aksi-aksi lumba haram di dalam filem mereka, namun ramai pelumba haram tidak mengendahkan amaran tersebut. Bak kata pepatah, seperti mencurahkan air ke daun keladi. Natijahnya, pemilihan bahan media yang tidak sesuai akan memudaratkan nyawa insan yang alpa akan kesan daripada apa yang dilakukan oleh mereka.
        Punca lain yang mendorong berlakunya gejala lumba haram adalah daripada pengaruh rakan sebaya. Tidak dinafikan ibu bapa yang terlalu materialistik pada hari ni memberi tamparan hebat buat anak-anak yang sentiasa memerlukan perhatian. Oleh sebab bosan, kebanyakan remaja menganggap rakan sebagai orang yang rapat dengan diri mereka. Kawan yang baik, boleh membimbing mereka ke arah kebaikan. Namun, jika tersilap memilih kawan, akan mempengaruhi mereka kepada perkara-perkara yang buruk seperti lumba haram. Bagi kebanyakan remaja yang terlalu taksub mempercayai rakan mereka, dengan mudah akan mengikut apa yang dilakukan oleh rakan-rakan. Ada di antara mereka lupa bahawa kadang kala tidak semua yang diikuti adalah perkara yang menguntungkan, lebih-lebih lagi apabila rasa tercabar untuk menunjukkan ‘kejantanan’ mereka. Kesannya, ramai yang terjebak dengan gejala sosial seperti lumba haram yang kian membimbangkan hati semua pihak. Hal ini terbukti apabila akhbar Utusan Melayu baru-baru ini memaparkan gambar anak-anak zaman sekarang yang semakin gila berlumba tanpa menghiraukan keselamatan diri dan masyarakat. Bagi mereka, kepuasan hati adalah yang lebih utama. Jadi tidak syak lagi bahawa pengaruh rakan sebaya yang negatif mudah menjerat remaja ke kancah lumba haram yang tidak  memberi sedikit pun keuntungan.
        Bagi membanteras gejala lumba haram yang semakin meruncing ini, pelbagai cara mengatasinya wajar dilaksanakan. Antara cara yang boleh menangani gejala ini adalah dengan menguatkuasakan undang-undang negara. Gejala lumba haram ini terletak di bawah seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang perlu diperketatkan lagi. Jadi sewajarnya seseorang remaja yang melakukan aktiviti lumba haram ini dikenakan hukuman yang setimpal dengan perlakuan mereka. Antara bentuk hukuman yang boleh dikenakan adalah seperti denda dan hukuman penjara untuk menyedarkan  mereka yang acuh tak acuh terhadap peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa. Setiap remaja yang menyertai perlumbaan haram haruslah digantung permit atau lesen memandu demi menjaga keselamatan diri sekaligus mengekalkan imej bersih negara daripada sebarang bentuk perlumbaan yang boleh mengundang kecelakaan kepada semua pihak. Pihak penganjur lumba haram juga boleh dikenakan hukuman yang setimpal sekiranya disabitkan kesalahan oleh pihak berwajib. Tidak guna untuk menyesal di kemudian hari apabila ditangkap, disaman, mahupun di penjarakan.
        Malahan, cara lain untuk mengelakkan berlakunya gejala ini adalah dengan mengadakan seminar, kursus atau bengkel agar memberi kemantapan berfikir tentang risiko lumba haram. Pemantapan berkenaan gejala ini memerlukan pemantauan dan tugas memantau ini dapat dilaksanakan melalui bengkel, seminar dan kursus yang sesuai. Walaupun usaha yang besar telah dilakukan, tidak bermakna tiada kesunguhan                di peringkat kementerian. Pihak Polis Diraja Malaysia pula  haruslah sentiasa memberikan khidmat nasihat kepada masyarakat, khususnya golongan remaja mengenai gejala lumba haram dengan lebih efisyen. Pelajar-pelajar sekolah boleh didedahkan berkenaan hal ini melalui seminar-seminar yang dianjurkan oleh pihak sekolah dengan kerjasama pihak polis. Akibatnya, gejala lumba haram dapat dilumpuhkan sedikit demi sedikit jika dipupuk dari akar umbinya. Oleh yang demikian, masyarakat akan celik minda dan menyedari betapa bahayanya lumba haram kepada mereka yang membawa padah dalam sekelip mata sahaja.
        Di samping itu, cara lain yang boleh dilakukan adalah seperti menyediakan kemudahan insfrastruktur yang lebih canggih untuk pihak polis. Melalui kenderaan yang berkuasa tinggi seperti motosikal dan kereta, pihak polis dapat melakukan rondaan dengan lebih kerap dan berkesan untuk membanteras gejala ini. Jika dilihat, selama ini pihak polis hanya menggunakan kenderaan tajaan kilang-kilang yang kurang laju dan berkuasa rendah. Oleh itu, kenderaan yang canggih ini akan mempercepatkan lagi pihak polis mengejar pelumba-pelumba haram. Selain itu, profesion polis juga akan dijulang apabila dapat menghapuskan gejala lumba haram yang tidak memberi faedah kepada masyarakat. Penggunaan kamera elektronik juga menbantu pihak polis memerangkap pelumba haram yang memandu melebihi had laju. Pengenalan Sistem Laporan Kecemasan Polis (PERS) dan talian Rakan Cop boleh membantu menyelesaikan gejala ini. Melalui anjakan paradigma yang dibuat sudah pasti gejala lumba haram dapat dipadamkan terus dari kamus kehidupan masyarakat agar sentiasa hidup bebas dari kancah kemusnahan ini.
      

Contoh Ulasan : Ulasan Cerpen Mitos Secekak Kertas Tisu



Cerpen “Mitos Secekak Kertas Tisu” ini mengisahkan perihal tentang kewujudan iblis di muka bumi ini yang sengaja turun untuk menguji keimanan manusia. Permulaan cerita digambarkan dengan beberapa pendapat manusia yang mengatakan kehadiran iblis berpunca daripada beberapa tempat. Antaranya, dikatakan jatuh daripada awan kumulus, awan sirus, awan stratus, satelit dan dari tingkat seribu satu sebuah menara cinta. Mitos ini disampaikan sejak dahulu oleh pendapat manusia-manusia yang singkat pemikirannya. Secekak kertas tisu yang melambangkan kekotoran dan kejijikan jelas membuktikan tentang kewujudan iblis di alam manusia. Beberapa pendapat juga menganggap yang iblis itu adalah seperti pahlawan zaman purbakala, ahli politik, penipu kewangan , ahl fahsafah dan sebagainya. Pemikiran singkat ini tidak dapat mengklasifikasikan siapa dia”. Watak ayah yang digarap dalam cerpen ini ternyata seorang yang beriman sehingga dapat mengenalpasti siapa dia”. Ayah yang agak tajam pemikirannya menyatakan kepada anaknya yang iblis itu sudah wujud zaman-berzaman, yakni dari permulaan tamadun dunia sehingga kini. Suatu hari, masyarakat di pekan tempat tinggal ayah dan keluarganya dilanda keresahan apabila iblis yang jatuh itu tidak dapat ditemui. Ayah yang beriman menerangkan bahawa iblis itu boleh hilang sekelip mata dan sentiasa akan mengetuk pintu rumah manusia untuk terus menyesatkan mereka ke jalan yang sesat. Kesannya, lahirlah maksiat yang berleluasa yang dipaparkan dalam televisyen di rumah ayah. Atas sebab itu ayah tidak mempedulikan rabun matanya dan yang penting baginya iman sentiasa tebal dan kental dalam sanubarinya. Walaupun rabun di mata, tetapi ayah tetap celik di hati. Ayah pula sentiasa mengingatkan anaknya bahawa iblis yang dilambangkan sebagai kertas tisu itu akan terus menganggu manusia di bumi. Oleh yang demikian, iman sahajalah dapat memelihara anak-anak manusia daripada disesatkan oleh iblis. Ibu pula mengeyakan apa yang diperkatakan oleh ayah. Suatu malam ketika “Aku” sedang nyenyak tidur, dia rasa bahawa ada sentuhan tangan yang memegangnya sehingga dia terperanjat. Ayah dan ibu yang mendengar jeritan itu lantas mendapatkan anaknya itu. Selepas itu, “Aku” terus berdoa semoga Yang Maha Esa memperteguhkan imannya agar tidak mudah terpedaya dan tunduk dengan godaaan iblis yang sentiasa menjahanamkan anak cucu Adam.

Pengalaman dalam Drama dan Teater



Drama merupakan karya kreatif yang unik kerana mengandungi dua aspek iaitu aspek sastera dan aspek teater. Merujuk kepada aspek sastera ia mengandungi cerita dan unsur-unsur karya kreatif seperti pemikiran, plot, watak, bahasa, dan latar. Manakala aspek teater pula drama dilihat sebagai hasil pementasan. Dengan kata lain, skrip drama yang telah ditulis akan dipersembahkan di atas pentas. Menurut Solehah Ishak (2001: 17-21) menyatakan drama merupakan satu bahan kajian akademik yang cukup unik. Drama boleh dikaji  menerusi teks dan proses kepengarangannya, proses produksi dan kepengarahannya, persembahan dan khalayaknya, estetika dan pelbagai aspek kehalusan seninya.

         Dalam sejarah pertumbuhan atau perkembangan drama di Malaysia, ia bermula dengan seni gerak. Seni gerak itu pula berkait rapat dengan upacara keagamaan. Semasa diadakan upacara pemujaan dalam kepercayaan animisme, diadakan pembacaan jampi serapah. Pembacaan ini disertai dengan tarian dan nyanyian. Seni gerak ini semakin ketara khususnya dalam upacara puja pantai, main puteri, bermain ancak dan sebagainya. Dari situlah munculnya drama tradisional seperti wayang kulit, menora, mak yung dan bangsawan. 


Contoh Teks Ucapan Pengacara Majlis



Majlis mengumumkan ketibaaan Yang Berbahagia Prof. Dato’ Dr. Aminah Bt Ayob, Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris masuk ke dewan SITC.

Seterusnya, nyanyian lagu Negaraku dan Ibu Kandung Suluh Budiman.


Bukan lebah sebarang lebah,
Lebah bersarang di pohon nangka,
Bukan sembah sebarang sembah,
Sembah pusaka adat melayu.

Sungguh jelita  si anak dara,
Tersusun alis betapanya murni,
Bismillah kata pembuka bicara,
Dalam majlis berseri ini.

Yang Berbahagia Prof. Dato’ Dr. Aminah Bt Ayob, Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris, Yang Berbahagia Prof. Datuk Dr. Abdul Latif Bin Abu Bakar merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah Institut Seni Malaysia Melaka (ISSMA), Yang dihormati Tn. Hj. Mohd Yassin selaku Mantan MPPM, pengarah program, saudara Mohd Lutfi Bin Majid, barisan pensyarah Jabatan Kesusasteraan Melayu Universiti Pendidikan Sultan Idris, serta para pelajar sastera anak kandung suluh budiman sekalian. Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah s.w.t kerana dengan hinayahnya dapat kita bersama-sama berkumpul pada Majlis Penutup program Simfoni Cinta Warisan UPSI 2008.  Bagi memberkati majlis kita pada malam ini, marilah kita bersama-sama mengaminkan bacaan doa yang akan disampaikan oleh Saudara Zainal Alrabbi Bin Muaz .
*Bacaan doa disampaikan.

Amin-amin, Ya Robbal alamin, moga-moga majlis kita malam ini mendapat berkat dari Robbul Izzati.

Para hadirin yang dihormati,

Malaysia merupakan sebuah negara yang kaya dengan pelbagai unsur-unsur kesenian yang sangat unik. Antaranya, budaya berpantun, bernazam, tarian dondang sayang dan lain-lain lagi. Ternyata, warisan ini semakin hari semakin ditelan zaman tanpa ada pelapisnya. Bagi membangkitkan kembali semangat mencintai seni warisan ini, kita perlu memupuk minat kepada pelbagai unsur seni dan budaya  terutamanya warisan turun-temurun nenek moyang kita. Oleh yang demikian, pihak Universiti Pendidikan Sultan Idris telah mengambil langkah inisiatif untuk mengadakan pelbagai aktiviti untuk menghidupkan kembali seni warisan yang semakin ditelan zaman ini. Tercetuslah idea merealisasikan program Simfoni Cinta Warisan UPSI 2008  ini yang sinonim dengan hasrat pihak universiti dan kerajaan. Untuk makluman hadirin semua, Simfoni Cinta Warisan UPSI 2008 ini telah diadakan pada 27 Julai hingga 5 Ogos 2008 dengan kerjasama pihak Institut Seni Malaysia Melaka. Terima kasih diucapkan kepada pihak Institut Seni Malaysia Melaka kerana sudi bekerjasama dengan pihak universiti bagi menanamkan kembali benih mencintai warisan kita dalam kalangan mahasiswa/i pada hari ini.

Baiklah, sebagai ucapan pemanis majlis, dengan ini majlis mempersilakan saudara Mohd Lutfi Bin Majid selaku pengarah program Simfoni Cinta Warisan Universiti Pendidikan Sultan Idris untuk menyampaikan sepatah dua kata. Majlis dengan penuh takzim mempersilakan.
*Ucapan pengarah program.

Terima kasih diucapkan kepada saudara Mohd Lutfi Bin Majid di atas ucapan beliau sebentar tadi. Sebagai imbasan kita semua, unsur seni dan budaya banyak mempamerkan  perasaan seseorang penggiat seni itu. Segala perasaan ini disampaikan dengan menggunakan pantun atau puisi klasik masyarakat Melayu . Sebagai makluman, banyak aktiviti yang diadakan dalam program yang unik ini seperti Pertandingan Deklamasi Puisi, Pertandingan Nyanyian Lagu Asli, Bengkel Puisi dan Sastera, dan beberapa lagi aktiviti sampingan seperti permainan rakyat.

Seterusnya,majlis dengan ini berbesar hati menjemput Yang Berbahagia Prof. Dato’ Dr. Aminah Binti Ayob merangkap Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris untuk menyampaikan ucapan beliau sekaligus merasmikan Majlis Penutup program Simfoni Cinta Warisan  UPSI 2008. Dipersilakan.
*Ucapan Yang Berbahagia Prof. Dato’ Dr. Aminah Binti Ayob.

Terima kasih kepada Prof. Dato’ Dr. Aminah Binti Ayob di atas ucapan beliau sebentar tadi.
Sekadar renungan :
Hinggap si Nuri di pohon angsana,
Terbang Sang Helang mencari kedidi,
Hasrat murni kian tersirna,
Teruskah hilang santunnya budi?

Sidang hadirin yang dihormati sekalian,
Bagi menghangatkan lagi majlis pada malam ini, kita beralih pula kepada sebuah persembahan yang sangat hebat iaitu persembahan tarian Dondang Sayang oleh KD Dancers, kumpulan kesenian dan kebudayaan Universiti Pendidikan Sultan Idris dan  diikuti dengan bacaan nazam oleh Tn. Hj. Mohd Yassin selaku Mantan MPPM. Selamat berhibur.
* Tarian Dondang Sayang dan Nazam.
Terima kasih diucapkan kepada Tn. Hj. Mohd Yassin dan KD Dancers di atas persembahan sebentar tadi. Banyak ilmu yang kita boleh manfaatkan tentang warisan budaya melayu ini yang menjadi khazanah yang tidak ternilai harganya. Dengan selingan persembahan sebentar tadi kita juga dapat mendalami pelbagai input yang berguna untuk masa hadapan terutama untuk generasi mendatang. Sebagai tanda kenang-kenangan, dengan ini majlis menjemput saudara Mohd Lutfi Bin Majid mengiringi Yang Berbahagia Prof. Dato’ Dr. Aminah Binti Ayob untuk menyampaikan cenderahati kepada tetamu-tetamu jemputan.
Dipersilakan :
1. Yang Berbahagia Prof. Datuk Dr. Abdul Latif Bin Abu Bakar.
2. Tn. Hj. Mohd Yassin.
Terima kasih kepada Yang Berbahagia Dato’ kerana sudi menyampaikan cenderahati.

Sekali lagi majlis mempersilakan saudara Mohd Lutfi Bin Majid utuk menyampaikan cenderahati kepada Yang Berbahagia Prof. Dato’ Dr. Aminah Binti Ayob di atas kesudian beliau hadir menyeri majlis pada malam ini. Dipersilakan.

Dengan berakhirnya penyampaian cenderahati tadi, tamatlah sudah  majlis kita pada malam ini. Diharapkan semua terhibur dan dapat menghayati warisan bangsa yang tak luput dek zaman ini.  Sedar tak sedar sudah hampir dua jam majlis kita pada malam ini. Bak kata orang :

Kalau memanjat sudah sampai ke puncak,
Kalau menurun sudah sampai ke lembah,
Kalau terjun sudah sampai ke tanah,
Kalau berenang sudah sampai ke pantai,
Kalau mudik sudah sampai ke hulu,
Kalau hanyut sudah sampai ke kuala,
Umpama belayar sudah sampai ke pulau,
Umpama berjalan sudah sampai ke batas,
Yang termimpi-mimpi sudah terjadi,
Yang terbayang-bayang sudah dipandang.


Kalau ada wajah yang tersalah pandang,
Kalau ada nama yang tersalah sebut,
Kalau ada gelar yang tersalah ucap,
Kalau ada yang duduk disalah tempat,
Kami minta ampun,
Kami minta maaf.

Petiklah gambus tanda berbudi,
Gendang dipalu dari Beruas,
Saya mengemudi sampai di sini,
Semoga hadirin jadi terpuas.

Sekian, wabillahhitaufikwalhidayah, wassalamualaikum w.b.t