Ahad, 13 Januari 2013


         MESYUARAT PANITIA BAHASA MELAYU 1/2013

Pada 12 Januari 2013 (Sabtu) yang lalu, Panitia Bahasa Melayu telahpun mengadakan mesyuarat panitia kali pertama bagi sesi 2013. Mesyuarat bermula pada jam 9.00 pagi bertempat di Bilik Gerakan SMK Tun Mutahir. Hampir semua guru Bahasa Melayu menghadiri mesyuarat tersebut. Turut hadir ke mesyuarat itu ialah Pn. Hjh. Kamariah bt. Othman (GPK 1), Tn. Hj. Ismail b. Abdullah (GPK HEM) dan Pn. Zawiyah bt. Mohd (GKMP Bahasa). Mesyuarat telah dipengerusikan oleh Ketua Panitia Bahasa Melayu iaitu Pn. Jamaliah bt. Ab Karim. Antara perkara yang dibincangkan adalah berkenaan Post Mortem PMR 2012, Dasar Panitia, Perancangan Tahun 2013, PBS dan beberapa hal lain. Mesyuarat berakhir kira-kira jam 11.00 pagi.

 Pn. Jamaliah bt. Ab Karim selaku Ketua Panitia 
sedang mempengerusikan mesyuarat


                                         Sebahagian guru-guru Bahasa Melayu yang menghadiri 
                                                                Mesyuarat Panitia Bahasa Melayu 1/2013



                                                  Pn. Zawiyah bt. Mohd (GKMP Bahasa)
                                                                     turut mengikuti mesyuarat panitia.


Khamis, 3 Januari 2013


KURSUS PBS BAHASA MELAYU TINGKATAN 2 TAHUN 2013

Pada 31 Disember 2012, Panitia Bahasa Melayu SMK Tun Mutahir telah mengadakan satu kursus PBS Bahasa Melayu bagi Tingkatan 2 sesi 2013. Kursus yang dikendalikan oleh Pn. Zaida Bt. Mat Yasin selaku Jurulatih Utama (JU) PBS Bahasa Melayu Tingkatan 2 bertempat  di perpustakaan SMK Tun Mutahir. Kursus yang bermula pada jam 8.30 pagi dihadiri oleh guru-guru Bahasa Melayu SMK Tun Mutahir. Turut hadir dalam kursus ini ialah GKMP Bahasa iaitu Pn. Zawiyah Bt. Mohd dan Pn. Hjh. Kamariah Bt. Othman (GPK 1).

Antara maklumat yang disampaikan adalah dari segi pengurusan fail PBS yang lengkap serta cara pelaksanaan PBS Tingkatan 2. Pn. Zaida Bt. Mat Yasin juga menerangkan penggunaan Dokumen Standard Prestasi (DSP) PBS Tingkatan 2 kepada guru-guru Bahasa Melayu terutama yang mengajar Tingkatan 2. Selain itu, Pn. Zaida Bt. Mat Yasin juga menunjukkan contoh istrumen atau eviden PBS tersebut yang dibuat mengikut standard pelajar yang diuji.

Pn. Norhayati Bt. Amadaldin juga menyumbangkan idea iaitu setiap PBS yang dijalankan perlu dituliskan lokasi untuk rujukan guru.Kursus ini berakhir kira-kira jam 10 pagi.

Gambar : Kursus PBS Bahasa Melayu Tingkatan 2

Pn. Zaida Bt. Mat Yasin selaku Jurulatih Utama (JU) 
Kursus PBS Bahasa Melayu Tingaktan 2

 Guru-guru mendengar maklumat yang disampaikan oleh JU.

GPK 1 dan GKMP Bahasa hadir pada hari kursus dijalankan.

Jumaat, 16 November 2012

BULAN BAHASA KEBANGSAAN

                                 
                                    

                                                             

                                                 

PEPATAH ORANG DULU-DULU......


Yang pekak penghembus lesung,
Yang pekak pelepas bedil,
Yang lumpuh penghuni rumah,
Yang kuat pembawa beban,
Yang bodoh disuruh-suruh,
Yang pintar bawa berunding.

Keluk paku kacang belimbing,
Tempurung lenggang-lenggangkan,
Bawa menurun ke Saruaso,
Anak dipangku kemenakan dibimbing,
Orang kampung dipertimbangkan,
Fikirkan rasa dengan periksa.

Mungkin dan patut,
Rasa dan periksa,
Malu dan sopan,
Hereng dan gendeng,yang baik oleh kita,
Suka oleh orang,
Melebihi baik,
Mengurangi sia-sia,
Bayang-bayang sepanjang badan.

Yang kurik adalah kundi,
Yang merah adalah saga,
Yang baik adalah budi,
Yang indah adalah bahasa,
Pucuk pauh sedang terjela,
Penjuluk bunga lingundi,

MARI BERKENALAN DENGAN PUISI LAMA :TEROMBA



Teromba merupakan satu ikatan puisi yang menyatakan adat lembaga atau asal-usul adat lembaga khususnya yang terdapat di kalangan mereka yang mengamalkan Adat Perpatih dalam kehidupan kelompok masyarakatnya. Dalam teromba itu bukan sekadar menerangkan susun lapis dalam masyarakatnya baik dari aspek pemerintahan mahupun keluarga tetapi juga menggambarkan tentang sosialisasi masyarakat yang mementingkan nilai-nilai Islam seperti tolong-menolong, muafakat, kesederhanaan dan keadilan dalam kehidupan di samping perpaduan yang erat.
                                                           
            Definisi lain pula menyatakan teromba merupakan salah satu aspek yang menbezakan Adat Perpatih dengan  Adat Melayu negeri yang lain. Di  kalangan masyarakat Adat Perpatih, teromba yang diguna pakai sebelum menjalankan sebarang aktiviti kemasyarakatan baik sosial, politik mahupun ekonomi, ini termasuklah hal-hal pentadbiran negeri, suku, perundangan, kehakiman, upacara istiadat dan sebagainya.

            Menurut Kamus Dewan, teromba pada makna asalnya adalah sejarah yang diceritakan dalam bentuk perbilangan, tambo atau riwayat. Manakala dialek Negeri Sembilan menyebutnya “terombo” dengan huruf “r”nya seperti bunyi “ghain” nipis. Dialek Minagkabau pula “tambo” yang mungkin daripada perkataan “tarambo” tetapi telah digugurkan bunyi “r”nya. Walau apapun asal atau sejarahnya dipanggil ia adalah maksud atau menekankan unsur sasteranya, kata-kata berirama dan diungkapkan dari mulut ke mulut sejak zaman-berzaman.

            Dengan erti kata lain, teromba adalah himpunan puisi-puisi Melayu yang sangat indah dari segi penghasilannya. Dalam teromba mengandungi unsur pantun, seloka, peribahasa, bidalan, pepatah-petitih, dan beberapa lagi puisi tradisional.

            Tema dan isi teromba banyak memberikan gambaran tentang pegangan atau tingkah laku serta peraturan yang mesti dipatuhi, nilai bermasyarakat atau hidup bersepadu, di samping memberi bayangan tentang kepercayaan, nilai dan pegangan serta pandangan hidup masyarakat. oleh yang demikian, teromba digunakan dan menjadi sebahagian daripada alat untuk mengkomunikasikan aspek-aspek kepercayaan, pengetahuan, kesenian, estetika, etika, moral, nilai dan elemen-elemen lain yang ada dalam kehidupan bermasyarakat dan dalam kes ini masyarakat Adat Perpatih khasnya.


INFO BAHASA : KATA ARAH


MARI BERKONGSI IDEA...


Menurut Tatabahasa Dewan (Edisi Ketiga, 2008), ada 17 jenis kata tugas. Semua kata tugas ini tidak mempunyai makna. Kata tugas hanya dikatakan mempunyai tugas tatabahasa sahaja, maka sebab itulah ia dipanggil sebagai kata tugas. Sungguhpun kata tugas dianggap tidak mempunyai apa-apa makna, tetapi perkataan-perkataan tersebut penting kerana tugas-tugas yang dilakukan olehnya adalah sangat mustahak. Contoh kata tugas termasuklah kata bilangan, kata arah, kata pemeri, kata bantu, kata naïf, kata seru, dan sebagainya.

Mengikut pendapat Abdullah Hassan dalam buku “Tatabahasa Pedagogi Untuk Sekolah Menengah”(2008 : 295), beliau menjelaskan bahawa kata arah dikatakan sebagai satu bentuk kata yang berfungsi untuk memberitahu arah tempat di mana sesuatu benda itu berada. Selain itu, beliau juga menjelaskan bahawa terdapat pelbagai isu yang perlu diselesaikan dalam hal kata arah. Ramai orang menganggap kata arah ini tidak banyak bezanya dengan kata sendi, atau menjadi sebahagian daripada kata sendi gabungan. Oleh yang demikian, golongan kata tugas yang dipanggil kata arah ini perlu dikaji dengan lebih mendalam lagi untuk menghuraikan kekusutan ini. Hanya kajian yang menggunakan data digital akan dapat melihat penggunaannya dengan meluas dan dapat membuat kesimpulan yang dapat dipertanggungjawabkan. Senarai yang disediakan melalui persepsi anggapan sahaja adalah tidak dapat dipertanggungjawabkan.

Hashim Haji Musa pula dalam buku “Binaan dan Fungsi Perkataan Dalam Bahasa Melayu : Suatu Huraian dari Sudut Tatabahasa Generatif” (1993 : 345 & 346) menjelaskan bahawa kata arah adalah sejumlah perkataan yang boleh hadir dalam konstituen kata arah (K Arah) dalam  frasa sendi (FS) iaitu seperti yang tertera dalam rumus struktur frasa (RSF) bahasa Melayu. Kata arah berfungsi untuk menunjukkan arah atau lokasi bagi kata nama yang mengikutinya.
                                                                                                        
Buku “Pembentukan Kata Dalam Bahasa Melayu tulisan Ahmad Khair Mohd Nor (2007 : 162 & 163) menghuraikan bahawa kata arah sering berpasangan dengan kata sendi bagi menunjukkan ciri arah atau tempat. Kedudukan kata arah dalam frasa adalah selepas kata sendi dan sebelum frasa nama. Menurut beliau lagi, dalam keadaan tertentu, penggunaan kata arah atau tanpa kata arah boleh menimbulkan perbezaan makna ayat.

Contoh kata arah yang sering digunakan dalam kehidupan seharian adalah seperti hadapan atau depan, belakang, tepi, dalam, tengah, luar, atas, bawah, sisi, utara, selatan, timur, barat, tenggara, barat daya, timur laut, barat laut, timur tengah, timur jauh, hulu, hilir dan sebagainya.

Lazimnya, ciri-ciri kata arah mudah dikenalpasti. Salah satu daripada cirinya adalah sering menunjukkan arah sesuatu benda. Kedua, hanya dua kata sendi sahaja yang boleh membantu kata arah iaitu kata sendi ‘di’ dan ‘ke’ dan akhirnya dapat membentuk frasa sendi dengan bantuan kata arah. Kata arah juga bertindak sebagai penerang arah, penguat dan membantu kata sendi.

Berdasarkan pendapat yang dinyatakan oleh ketiga-tiga penulis, dapatlah dirumuskan bahawa kata arah adalah suatu kata penting yang merujuk kepada arah kedudukan sesuatu benda maujud atau tidak dan ia berfungsi sebagai penerang arah kedudukan benda tersebut.

PANTUN KEPAHLAWANAN


      ARUS SEJENAK BERSAMA PUISI LAMA.....

                      Guruh berdentum bumi bergegar,
                                    Ayam jaguh sedang bersabung,
                      Jangan cakap sahaja berdegar,
                                    Hulur senjata kita bertarung.



Kalau orang menjaring ungka,
Rebung seiris akan pengukusnya,
Kalau arang tercorong ke muka,
Ujung keris akan penghapusnya.

Redup bintang haripun subuh,
Subuh tiba bintang tak nampak,
Hidup pantang mencari musuh,
                                     Musuh tiba pantang ditolak.

Khamis, 1 November 2012

Selamat Menduduki Peperiksaan SPM 2012

Kepada semua calon sekolah yang bakal menduduki Peperiksaan SPM 2012, diucapkan semoga berjaya dengan cemerlang.

Berita Terkini Panitia BM

Pada tahun 2012, Panitia Bahasa Melayu telah menerima Anugerah Blog Panitia Berinisiatif sempena ANUGERAH INOVASI sekolah kali ini. Kali ketiga berturut-turut Panitia Bahasa Melayu menerima anugerah tersebut. Terima kasih kepada semua ahli panitia yang banyak memberikan kerjasama dalam melancarkan perjalanan panitia sepanjang tahun 2012. Selamat bercuti.

Rabu, 2 November 2011

MESYUARAT PANITIA BAHASA MELAYU KALI KE-4 SESI 2011

Mesyuarat Panitia Bahasa Melayu kali ke-4 sesi 2011 akan diadakan berdasarkan butiran berikut;

Hari: Rabu
Tarikh: 9 November 2011
Tempat: Bilik Tayang
Masa: 1.15 petang

Semua guru di bawah Panitia Bahasa Melayu dijemput hadir. Sekian, terima kasih.

PERTANDINGAN DONDANG SAYANG SEKOLAH-SEKOLAH MENENGAH NEGERI MELAKA

Laporan Pertandingan Dondang Sayang Sekolah-Sekolah Menengah Negeri Melaka

Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Mutahir telah menyertai satu Pertandingan Dondang Sayang telah diadakan pada 27 Oktober 2011 bersamaan hari Khamis yang lalu. Program yang dikelolakan oleh Sekolah Menengah Kebangsaan Malim ini berlangsung di pentas utama pusat membeli-belah Mydin MITC, Ayer Keroh dengan disaksikan oleh guru, pelajar sekolah serta pengunjung yang datang pada hari tersebut bermula dari jam 11.00 pagi sehingga menghampiri jam 3.00 petang Sebanyak 5 buah sekolah menengah sekitar negeri Melaka telah mengambil bahagian dengan penyertaan sebanyak 11 pasukan dengan diadili oleh para hakim yang sangat berkaliber dalam nyanyian Dondang Sayang. Pertandingan ini diiringi dengan minus one yang disediakan. Bagi memupuk tradisi budaya bangsa melalui lagu Dondang Sayang yang menjadi lambang identiti budaya masyarakat Melaka, Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Mutahir telah menghantar satu pasukan yang dianggotai oleh Saudara Muhammad Firdaus Bin Hashim dan Saudari Siti Nuramira Binti Zainudin, pelajar menengah rendah (sesi petang) untuk menyertai pertandingan tersebut. Kedua-dua peserta ini diberi latihan secukupnya oleh Cikgu Muhammad Izuan Bin Rejab dan Cikgu Nor Hayati Binti Amadaldin selaku guru pembimbing dan pengiring.



Akhirnya, setelah keputusan diumumkan, seorang peserta Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Mutahir iaitu Saudari Siti Nuramira Binti Zainudin memenangi kategori Naib Juara Nyanyian Terbaik menerusi Pertandingan Dondang Sayang tersebut manakala secara keseluruhannya sekolah memenangi tempat saguhati. Hadiah yang disampaikan berupa sijil penyertaan dan piala Naib juara Nyanyian Terbaik.