Teromba
merupakan satu ikatan puisi yang menyatakan adat lembaga atau asal-usul adat
lembaga khususnya yang terdapat di kalangan mereka yang mengamalkan Adat
Perpatih dalam kehidupan kelompok masyarakatnya. Dalam teromba itu bukan
sekadar menerangkan susun lapis dalam masyarakatnya baik dari aspek
pemerintahan mahupun keluarga tetapi juga menggambarkan tentang sosialisasi
masyarakat yang mementingkan nilai-nilai Islam seperti tolong-menolong,
muafakat, kesederhanaan dan keadilan dalam kehidupan di samping perpaduan yang
erat.
Definisi
lain pula menyatakan teromba merupakan salah satu aspek yang menbezakan Adat
Perpatih dengan Adat Melayu negeri yang
lain. Di kalangan masyarakat Adat
Perpatih, teromba yang diguna pakai sebelum menjalankan sebarang aktiviti
kemasyarakatan baik sosial, politik mahupun ekonomi, ini termasuklah hal-hal
pentadbiran negeri, suku, perundangan, kehakiman, upacara istiadat dan
sebagainya.
Menurut
Kamus Dewan, teromba pada makna
asalnya adalah sejarah yang diceritakan dalam bentuk perbilangan, tambo atau
riwayat. Manakala dialek Negeri Sembilan menyebutnya “terombo” dengan huruf “r”nya seperti bunyi “ghain”
nipis. Dialek Minagkabau pula “tambo”
yang mungkin daripada perkataan “tarambo”
tetapi telah digugurkan bunyi “r”nya.
Walau apapun asal atau sejarahnya dipanggil ia adalah maksud atau menekankan
unsur sasteranya, kata-kata berirama dan diungkapkan dari mulut ke mulut sejak
zaman-berzaman.
Dengan
erti kata lain, teromba adalah himpunan puisi-puisi Melayu yang sangat indah
dari segi penghasilannya. Dalam teromba mengandungi unsur pantun, seloka,
peribahasa, bidalan, pepatah-petitih, dan beberapa lagi puisi tradisional.
Tema
dan isi teromba banyak memberikan gambaran tentang pegangan atau tingkah laku
serta peraturan yang mesti dipatuhi, nilai bermasyarakat atau hidup bersepadu,
di samping memberi bayangan tentang kepercayaan, nilai dan pegangan serta
pandangan hidup masyarakat. oleh yang demikian, teromba digunakan dan menjadi
sebahagian daripada alat untuk mengkomunikasikan aspek-aspek kepercayaan,
pengetahuan, kesenian, estetika, etika, moral, nilai dan elemen-elemen lain
yang ada dalam kehidupan bermasyarakat dan dalam kes ini masyarakat Adat
Perpatih khasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan