Jumaat, 16 November 2012

INFO BAHASA : KATA ARAH


MARI BERKONGSI IDEA...


Menurut Tatabahasa Dewan (Edisi Ketiga, 2008), ada 17 jenis kata tugas. Semua kata tugas ini tidak mempunyai makna. Kata tugas hanya dikatakan mempunyai tugas tatabahasa sahaja, maka sebab itulah ia dipanggil sebagai kata tugas. Sungguhpun kata tugas dianggap tidak mempunyai apa-apa makna, tetapi perkataan-perkataan tersebut penting kerana tugas-tugas yang dilakukan olehnya adalah sangat mustahak. Contoh kata tugas termasuklah kata bilangan, kata arah, kata pemeri, kata bantu, kata naïf, kata seru, dan sebagainya.

Mengikut pendapat Abdullah Hassan dalam buku “Tatabahasa Pedagogi Untuk Sekolah Menengah”(2008 : 295), beliau menjelaskan bahawa kata arah dikatakan sebagai satu bentuk kata yang berfungsi untuk memberitahu arah tempat di mana sesuatu benda itu berada. Selain itu, beliau juga menjelaskan bahawa terdapat pelbagai isu yang perlu diselesaikan dalam hal kata arah. Ramai orang menganggap kata arah ini tidak banyak bezanya dengan kata sendi, atau menjadi sebahagian daripada kata sendi gabungan. Oleh yang demikian, golongan kata tugas yang dipanggil kata arah ini perlu dikaji dengan lebih mendalam lagi untuk menghuraikan kekusutan ini. Hanya kajian yang menggunakan data digital akan dapat melihat penggunaannya dengan meluas dan dapat membuat kesimpulan yang dapat dipertanggungjawabkan. Senarai yang disediakan melalui persepsi anggapan sahaja adalah tidak dapat dipertanggungjawabkan.

Hashim Haji Musa pula dalam buku “Binaan dan Fungsi Perkataan Dalam Bahasa Melayu : Suatu Huraian dari Sudut Tatabahasa Generatif” (1993 : 345 & 346) menjelaskan bahawa kata arah adalah sejumlah perkataan yang boleh hadir dalam konstituen kata arah (K Arah) dalam  frasa sendi (FS) iaitu seperti yang tertera dalam rumus struktur frasa (RSF) bahasa Melayu. Kata arah berfungsi untuk menunjukkan arah atau lokasi bagi kata nama yang mengikutinya.
                                                                                                        
Buku “Pembentukan Kata Dalam Bahasa Melayu tulisan Ahmad Khair Mohd Nor (2007 : 162 & 163) menghuraikan bahawa kata arah sering berpasangan dengan kata sendi bagi menunjukkan ciri arah atau tempat. Kedudukan kata arah dalam frasa adalah selepas kata sendi dan sebelum frasa nama. Menurut beliau lagi, dalam keadaan tertentu, penggunaan kata arah atau tanpa kata arah boleh menimbulkan perbezaan makna ayat.

Contoh kata arah yang sering digunakan dalam kehidupan seharian adalah seperti hadapan atau depan, belakang, tepi, dalam, tengah, luar, atas, bawah, sisi, utara, selatan, timur, barat, tenggara, barat daya, timur laut, barat laut, timur tengah, timur jauh, hulu, hilir dan sebagainya.

Lazimnya, ciri-ciri kata arah mudah dikenalpasti. Salah satu daripada cirinya adalah sering menunjukkan arah sesuatu benda. Kedua, hanya dua kata sendi sahaja yang boleh membantu kata arah iaitu kata sendi ‘di’ dan ‘ke’ dan akhirnya dapat membentuk frasa sendi dengan bantuan kata arah. Kata arah juga bertindak sebagai penerang arah, penguat dan membantu kata sendi.

Berdasarkan pendapat yang dinyatakan oleh ketiga-tiga penulis, dapatlah dirumuskan bahawa kata arah adalah suatu kata penting yang merujuk kepada arah kedudukan sesuatu benda maujud atau tidak dan ia berfungsi sebagai penerang arah kedudukan benda tersebut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan