Khamis, 14 Februari 2013

Ciri dan Pengaruh Dalam Kesusteraan Melayu

Kepelbagaian karya di dalam Kesusasteraan Melayu menampakkan perbezaan daripada segi bentuk dan isi. Berdasarkan aspek-aspek tersebut, kita boleh menyusur galurkannya melalui pembahagian yang mampu menjelaskan kedudukan atau kategori sesebuah karya dari dahulu hingga kini.

Bentuk sastera yang tertua bagi semua bangsa di dunia ialah sastera lisan. Sastera bentuk ini dilahirkan di dalam kalangan rakyat yang belum mengenal tulisan. Oleh sebab itu, sastera jenis ini disebut juga sastera rakyat. Sastera lisan terbahagi kepada dua kumpulan, iaitu:
  1. Prosa : Karya yang terhasil di dalam bentuk karangan.
  2. Puisi : Karangan berangkap.



Sastera lisan


Setiap satunya boleh dipecahkan kepada dua kategori, iaitu :


Kategori prosa / puisi



Di samping itu, setiap kategori mempunyai genre atau genre-genre serta subgenre yang tersendiri. Genre bermaksud bentuk karya. Kesemua hal akan dibincangkan secara berperingkat-peringkat.

Agama Islam dikatakan sampai ke Alam Melayu pada abad pertama Hijrah. Agama Islam telah memberi sumbangan yang tidak ternilai terhadap perkembangan bahasa, kesusasteraan, dan kebudayaan Melayu. Salah satu daripadanya ialah pengenalan huruf-huruf Arab kepada penganut-penganut agama Islam di rantau ini dengan tujuan menjadikannya abjad baru di dalam penulisan berbahasa Melayu. Oleh sebab itu, sistem tulisan yang teratur di dalam bahasa Melayu wujud setelah kedatangan Islam.

Sistem tulisan tersebut telah memasukkan beberapa huruf lain yang disesuaikan dengan bunyi atau sebutan Melayu. Sistem tulisan itu disebut Tulisan Jawi. Pada masa yang sama, perbendaharaan kata bahasa Melayu bertambah dengan banyak. Hal ini terjadi kerana kata-kata daripada bahasa Arab diambil untuk memberi pengertian kepada sesuatu yang baru ditemui disamping terus mengekalkan perbendaharaan kata daripada bahasa Sanskrit.

Dengan wujudnya sistem tulisan bermulalah tradisi tulisan di Alam Melayu. Ia bermula dengan penulisan yang berbentuk bukan kreatif, iaitu penulisan kitab-kitab bercorak agama yang membicarakan mengenai fikah, tafsir Al-Qur’an, tauhid dan sebagainya. Setelah itu diikuti dengan penulisan kreatif. Bidang ini bermula dengan munculnya Hikayat Nabi Bercukur, Hikayat Nur Muhammad, Hikayat Nabi Yusof, Hikayat Nabi Musa, dan hikayat-hikayat lain seumpamanya. Hikayat Nabi-nabi itu berdasarkan kepada kisah-kisah tentang diri mereka yang terdapat di dalam Al-Qur’an. Kisah-kisah itu kemudiannya dicampuradukkan dengan unsur-unsur fiksyen. Anda harus ingat bahawa hikayat-hikayat ini sebenarnya merupakan saduran atau terjemahan daripada karya-karya berbahasa Arab. Khazanah Kesusasteraan Melayu Tradisional bertambah dan terus berkembang sejak itu dengan kemasukan cerita-cerita tentang pahlawan-pahlawan Islam yang berbentuk legenda di dalam bahasa Parsi.

Hingga saat ini kita telah melihat dengan jelas dua faktor luar yang mempengaruhi penghasilan karya dalam bahasa Melayu, iaitu pengaruh animisme yang terlihat di dalam mitos dan legenda. Satu lagi ialah pengaruh Arab-Parsi. Harus diingat bahawa orang-orang Melayu memeluk Islam ketika mereka berpegang kepada kepercayaan animisme. Golongan bangsawan pada masa itu menganuti agama Hindu. Sebagai golongan yang tertinggi di dalam hierarki sosial ia dikelilingi oleh pendeta-pendeta yang pandai dalam tulisan nagari dan pallava.

Karya-karya berunsur Hindu yang ditulis oleh oleh para pendeta itu terperap di istana. Rakyat jelata yang diletakkan di dalam kasta rendah menurut tradisi Hindu itu (sebenarnya tidak pun menghayati ajaran agama tersebut) tidak boleh merapati istana. Setelah Islam bertapak dan konsep persamaan hak dipraktikkan, seluruh bangsa Melayu mengetahui kewujudan karya-karya Hindu itu.

Pada hakikatnya, Kesusasteraan Melayu dapat berkembang pesat kerana adanya kecenderungan dan usaha-usaha pengembangan agama Islam menggunakan sastera sebagai alat penyebarannya. Kegiatan-kegiatan seumpama itu telah mendorong sasterawan Islam menghasilkan roman-roman Islam untuk menggantikan epik-epik Hindu, iaitu Mahabharata dan Ramayana, seperti yang ditunjukkan di dalam Rajah di bawah.


Mahabrata dan Ramayana 
Sumber: http://www.exoticindiaart.com/book/details/IDF394/ &
http://www.integraltradition.com/catalog/images/ramayana.jpg


Oleh hal demikian, selain cerita Nabi-nabi dan legenda Islam tadi, terdapat juga cerita tokoh-tokoh sebelum, semasa, dan selepas Nabi Muhammad s.a.w. Antaranya ialah Hikayat Firaun, Hikayat Tamim al-Dari, dan Hikayat Sultan Ibrahim bin Adham. Harus diingat bahawa pada masa itu juga transliterasi dan transkripsi dibuat untuk membolehkan orang ramai membaca karya-karya Hindu seperti Hikayat Syahi Mardan dan Hikayat Berma Syahdan. 

Apabila mendapati karya-karya itu tidak selari dengan tuntutan Islam, maka penyesuaian pun dibuat agar sejajar dengan ajaran Islam. Nama-nama dewa Hindu seperti Visynu diganti dengan nama-nama Nabi dan malaikat. Dewata Mulia Raya ditukar menjadi Allah atau Tuhan yang Maha Esa. Kemudian watak-watak Hindu pula disesuaikan dengan watak bernama Islam hingga hasilnya bercampur aduk antara nama-nama Hindu dan Islam.

Di samping semua itu, anda harus ingat bahawa nama-nama hikayat seumpama itu turut ditukar atau ditambah dengan nama Islam. Contoh-contohnya ialah Hikayat Si Miskin asalnya Hikayat Marakarma dan Hikayat Ahmad Muhammad asalnya Hikayat Serangga Bayu. Kumpulan karya seperti itu disebut Kesusasteraan Zaman Peralihan atau Kesusasteraan Transisi atauKesusasteraan Hindu-Islam.

Berikut akan dijelaskan kewujudan Sastera Panji di Jawa. Kata ‘panji’ pada asalnya merupakan gelaran bagi golongan bangsawan yang berdarah raja. Walau bagaimanapun, gelaran tersebut kemudiannya digunakan di dalam cerita-cerita roman Jawa bagi menunjukkan watak pahlawan yang gagah dan kacak sehingga dapat menawan hati wanita-wanita jelita.

Setelah sekian lama orang-orang Jawa mendengar cerita-cerita yang berunsur Hindu di dalam bahasa Jawa kuno dan bahasa Sanskrit, mereka mulai jemu. Sungguhpun sudah ada karya bercorak Islam pada masa itu, orang-orang Jawa tidak gemar membacanya. Oleh sebab itu, penglipur lara Jawa mencari jalan untuk menghasilkan satu bentuk karya berunsur setempat. Di dalam pencarian itulah terhasil Sastera Panji.

Cerita-cerita dongeng Jawa yang selama ini tenggelam akibat taklukan sastera saduran Hindu-Buddha, kini muncul kembali di dalam bentuk tersebut. Cerita itu ditulis dalam bahasa Jawa Tengahan dan sangat popular di istana Raja-Raja Jawa Timur pada abad ke-13 hingga ke-15 Masihi. Walaupun cerita-cerita itu ditulis oleh penulis Jawa, tetapi tidak dapat lari daripada pengaruh Hindu yang telah bertapak sekian lama di Jawa. Unsur-unsur itu termasuklah pertapaan, dewa-dewa, mitos dan legenda.

Kerajaan Majapahit dikatakan bertanggungjawab menyebarkan sastera Jawa ke serata tempat, termasuk ke Tanah Melayu. Selain itu, kewujudan hubungan antara orang-orang Jawa dengan orang-orang Melayu juga menjadi penyebab tersebarnya cerita-cerita panji ke luar Jawa. Ada pendapat yang mengatakan bahawa cerita-cerita panji berkembang ke Tanah Melayu di dalam bentuk lisan atau melalui wayang kulit dan bangsawan.

Ciri-ciri utama cerita panji yang membezakannya dengan genre-genre lain dapat dilihat melalui tiga aspek, iaitu:

  1. Tema dan Persoalan;
  2. Struktur cerita (plot, latar dan watak);
  3. Penerapan unsur-unsur Hindu;
Kerap dikatakan bahawa pengembaraan menjadi tema Sastera Panji. Tetapi, jika kita halusi plot cerita-cerita panji, kita akan menemui perkara pokok yang menjadi penyebab kepada pengembaraan itu ialah pencarian. Wira keluar mengembara kerana kekasihnya yang pertama dibunuh orang. Pengembaraan dilakukan untuk mencari ganti kekasih atau mencari ketenangan. Dalam cerita yang lain, wira mengembara untuk mencari kekasihnya yang menghilang atau diculik musuh atau diarah meninggalkan istana oleh dewa-dewa.

Oleh sebab itu, kunci kepada semua persoalan dalam cerita panji ialah pencarian. Persoalan-persoalan yang menyokong tema itu ialah pengembaraan, percintaan, penyamaran, dan peperangan. Rasa cinta mendorong wira mencari kekasihnya. Hal ini berlaku di dalam Hikayat Panji Semirang. 

Raden Inu Kertapati mencari Raden Galoh Cendera Kirana yang meninggalkan istana. Raden Galoh meninggalkan istana kerana mencari kedamaian apabila ayah, ibu tiri, dan adik tirinya mewujudkan ketidakselesaan hidupnya di istana. Lantaran itu mereka pun mengembara. Raden Galoh menyamar sebagai lelaki untuk mendapatkan kekuatan dan keyakinan diri. Ternyata bahawa kemahuan itu menjadi satu aspek pencarian secara tersirat. Wira berperang untuk mencari kemegahan dan kuasa. Wirawati berperang untuk mendapatkan pengiktirafan bahawa wanita juga perkasa dan boleh berdikari. Cerita digerakkan atas dasar pencarian. Dengan itu, persoalan utama Sastera Panji ialah pencarian.

Plot cerita panji dimulakan dengan pengenalan, diikuti dengan perkembangan, dan diakhiri dengan peleraian. Cerita-cerita panji berakhir dengan kegembiraan. Daripada segi latar, kita dapati cerita panji berlatarkan empat buah negeri, iaitu Daha, Kuripan, Singasari, dan Gagelang. Tempat-tempat ini dikatakan pernah wujud di Jawa. Masyarakat zaman feudal di Jawa merupakan latar masyarakat dalam cerita panji.

Sebagai karya yang terhasil berdasarkan pemikiran dan budaya tradisi Jawa, Sastera Panji masih mengekalkan unsur-unsur Hinduisme dan mitos. Raja-raja dikatakan berketurunan dewa-dewa daripada kayangan. Pertapaan merupakan sebahagian daripada samadhi. Selain itu, dipaparkan penjelmaan yang seiring dengan inkarnasi di dalam ajaran Hindu.

Ciri terakhir yang hadir di dalam setiap cerita panji ialah pertukaran nama. Di dalam Hikayat Dewa Asmara Jaya, Raden Inu menukar namanya sebanyak tujuh kali. Antaranya ialah Kuda Waneng Baya, Misa Kelana Sira Panji, dan Adipati Macan Negara. Pertukaran nama tidak terhad kepada wira dan wirawati sahaja malah berlaku juga kepada watak-watak pembantu. Harus diingat bahawa pertukaran nama ialah amalan biasa dalam budaya Jawa.

Sastera Panji berperanan sebagai alat yang berfungsi untuk memberi hiburan dan pengajaran kepada khalayak. Sehubungan itu, di dalam karya-karya tersebut terselit amanat penting daripada pengarangnya. Antaranya ialah niat jahat pasti gagal dan janji mesti ditepati. Hikayat Dewa Asmara Jaya menceritakan niat jahat Raja Sochawindu. Dia marah apabila pinangannya ditolak lalu bertindak menyerang Daha. Niat jahatnya tidak terlaksana kerana Raden Inu Kertapati mengalahkannya. Hikayat Misa Taman Jayeng Kusumamenceritakan balasan buruk yang diterima oleh para ratu yang mungkir janji.

Kita kembali semula kepada sejarah perkembangan Kesusasteraan Melayu. Selain Sastera Hikayat, Sastera Transisi, dan Sastera Panji, terdapat genre-genre lain di dalam Kesusasteraan Melayu Tradisional yang berbentuk naratif. Genre-genre itu ialah Sastera Sejarah dan Sastera Epik. Kedua-duanya akan dihuraikan di dalam topik berikut. Begitu juga dengan perincian tentang Sastera Hikayat. Kesusasteraan Melayu Tradisional yang berbentuk prosa dan tergolong di dalam kategori bukan naratif terbahagi kepada empat genre, iaitu Sastera Kitab, Sastera Undang-Undang, Sastera Ketatanegaraan dan Sastera Sufi.

Sastera Kitab telah disentuh secara sepintas lalu sebelum ini. Hal-hal lain tentang genre itu akan dibincangkan di dalam topik berikut. Begitu juga halnya dengan tiga genre yang berikutinya. Harus diingat bahawa prosa naratif di dalam Kesusasteraan Melayu Tradisional menjadi asas kepada genre novel dalam Kesusasteraan Melayu Moden.

Takrif moden yang dipakai untuk modul ini ialah karya-karya yang tertulis pada tahun-tahun 1880-an dan sesudahnya. Tahap itu bermula dengan karya-karya hasilan Abdullah Munsyi. Pada tahun-tahun tersebut juga muncul bangsawan yang menjadi asas kepada drama moden di Malaysia. Bangsawan bermula di Pulau Pinang, kemudian berkembang ke seluruh tanah air dan Indonesia.

Genre novel sebagai sastera bertulis yang bersifat kreatif di dalam Kesusasteraan Melayu Moden muncul sejak tahun-tahun 1920-an apabila Syed Syeikh al-Hadi menghasilkan novel saduran Hikayat Faridah Hanum atau Hikayat Setia Asyik kepada Masyuknya(1925-26). Ahmad Kotot menghasilkan Hikayat Percintaan Kasih Kemudaan atau Yazid Asyik dan Masyuk Akan Zamrud (1927). Ahmad Rasyid Talu menghasilkan Iakah Salmah? (1928).

Pada tahun-tahun tersebut juga muncul genre cerpen di dalam Kesusasteraan Melayu Moden. Genre ini dimulakan oleh Nor bin Ibrahim (Madrasi). Beliau menulis cerpen yang berjudul Kecelakaan Pemalas. Cerpen tersebut disiarkan di dalam majalah Pengasuhkeluaran 4 Februari 1920. Bermula daripada sini terbit pula cerpen-cerpen lain di dalam majalah-majalah Panduan Guru, Penyuluh danMajalah Guru. Kedua-dua genre itu terus berkembang hingga kini.

Seperti karya prosa dalam Kesusasteraan Melayu Tradisional, karya berbentuk puisi juga terbahagi kepada dua kumpulan, iaitu puisi naratif dan puisi bukan naratif. Setiap kumpulan mempunyai genre dan subgenre masing-masing.

Puisi naratif di dalam bahasa Melayu ialah syair. Genre tersebut dikatakan jenis puisi daripada Arab yang pertama dijumpai di Alam Melayu. Puisi yang dimaksudkan itu telah ditemui dalam bentuk tulisan Arab tetapi tidak sama dengan syair yang dikenali di dalam Kesusasteraan Melayu pada masa ini.

Sehubungan itu, para sarjana berpendapat bahawa syair-syair yang dihasilkan oleh Hamzah Fansuri merupakan karangan yang tertua dan muncul selepas kedatangan Islam ke Alam Melayu. Bentuk yang diasaskan oleh Hamzah Fansuri itulah yang menjadi ikutan kepada penghasilan syair-syair terkemudian. Selain syair, pantun berkait juga ada kalanya dihasilkan dalam bentuk naratif.

Puisi Melayu Tradisional yang lain lahir melalui tradisi lisan dan tulisan. Pengucapan bahasa itu diolah mengikut pengalaman, peraturan, pengaruh, dan persekitaran. Oleh sebab itu, kita menemui Puisi Melayu Tradisional yang asli, iaitu pantun, teromba, talibun, dan peribahasa berangkap. Yang mengandungi pengaruh Hindu ialah gurindam, rejang, seloka, dan mantera manakala yang mengandungi pengaruh Arab-Parsi ialah dikir atau zikir, endoi, rubai, nazam, masnawi, ghazal, dan qit’ah.

Bentuk genre-genre juga berbeza-beza. Ada yang terikat dan ada yang bebas. Rajah 1.7 di bawah menyatakan beberapa bentuk genre-genre yang terikat.


Genre-genre yang terikat


Manakala Rajah di bawah menyatakan beberapa bentuk genre-genre yang bebas atau tidak terikat.


Genre-genre yang bebas

Walaupun demikian, pengelasan tersebut tidak bersifat rigid kerana di dalam sejarah perkembangan genre-genre tersebut mungkin berlaku pertindihan pengaruh akibat daripada sifat asasnya yang terdedah kepada tokok tambah, pengubahsuaian, penghilangan dan seumpamanya.

Sebahagian yang lain disebut puisi tumpangan kerana menumpang pada genre-genre yang sedia ada. Puisi tumpangan terbahagi kepada dua, iaitu puisi tumpangan warisan Melayu dan puisi tumpangan warisan Islam.

Peredaran masa, peningkatan intelek dan perubahan situasi menjadi pendorong utama kepada pembaharuan dalam lapangan penulisan sastera. Sultan Idris Training College (SITC) telah ditubuhkan pada tahun 1922 di Tanjong Malim, Perak. Pelatih-pelatih di maktab ini terdedah kepada pelbagai jenis bahan bacaan yang mempengaruhi pemikiran mereka.

Akibatnya, guru-guru keluaran maktab ini banyak meminati bidang penulisan. Antaranya ialah Abdullah Sidek, Ahmad Bakhtiar, Harun Aminurrashid, dan Punggok. Punggok atau nama sebenarnya Muhammad Yassin bin Maamor telah memperkenalkan sajak di dalam Kesusasteraan Melayu Moden pada tahun 1933. Genre ini segera mendapat tempat di hati penggiat sastera tanah air. Sajak menjadi perisian tetap akhbar mingguan dan majalah.

Dalam tahun-tahun 1960-an dan 70-an, dunia sastera Melayu dikejutkan oleh kehadiran ‘sajak kabur’ yang dipelopori oleh Noor S.I., A.S. Amin, dan M. Ghazali. Istilah tersebut timbul kerana khalayak menghadapi kesukaran untuk memahami sajak-sajak yang disiarkan. Hal ini berlaku kerana penyair-penyair ketika itu menggunakan imej dan lambang yang terlalu personal sifatnya. Para penyair menyalahkan khalayak yang tidak gemar berfikir dan tidak ada inisiatif untuk memahami karya mereka. Isu ini berakhir apabila orang-orang sastera sendiri mengambil inisiatif untuk mengulas dan mendidik khalayak memahami puisi yang didakwa merumitkan itu.

Kita telah membicarakan empat aspek penting dalam ciri Kesusasteraan Melayu, iaitu lisan, tulisan, kreatif dan bukan kreatif. Turut disentuh ialah sejarah dan pengaruh yang melatari sesuatu genre. Aspek kelima ialah estetika atau keindahan. Keindahan di dalam puisi atau prosa hanya ditemui melalui penilaian dan penghayatan. Peranan ini dimainkan oleh kritikan. Kritikan merupakan satu daripada karya-karya bukan kreatif. Fungsinya adalah untuk memperlihatkan kejayaan atau kegagalan sesebuah karya. Namun demikian, kita harus ingat bahawa persoalan yang berkaitan dengan estetika itu amat subjektif.

Oleh itu, tiada jawapan yang benar-benar tepat bagi menangani persoalan ini. Namun nilai estetik dapat ditonjolkan melalui permainan rentak, rima, diksi, dan bahasa-bahasa puitis (simile, metafora, simbol, personifikasi, dan sebagainya). Dengan mengambil puisi sebagai contoh, keindahannya tidak bergantung 100% kepada diksi yang bersandar kepada bunyi, malah memerlukan kesatuan dan keharmonian pelbagai unsur.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan