Isnin, 8 Disember 2014

PANTUN MENGENANG NASIB...

Pisau raut hilang di rimba,
Pakaian anak raja di Juddah,
Karam di laut boleh ditimba,
Karam di hati bilakah sudah.
(Maksud : kesedihan kerana kekecewaan lebih teruk daripada kehilangan sesuatu benda)

Kusangka nanas di tengah padang,
Kiranya pandan yang berduri,
Kusangka panas sampai ke petang,
Kiranya hujan di tengah hari.
(Maksud : disangka sesuatu perkara itu akan kekal berterusan tetapi rupa-rupanya putus di tengah jalan)

Buah berangan masaknya merah,
Kelekati dalam perahu,
Luka di tangan nampah berdarah,
Luka di hati siapa tahu.
(Maksud : sukar bagi seseorang untuk mengetahui perasaan yang ditanggung oleh individu lain secara zahir)

Apa di harap kepada tudung,
Tudung salji terendak Bentan,
Apa di harap kepada untung,
Untung nasib permainan badan.( Maksud : sudah menjadi lumrah hidup, susah senang terpaksa ditanggung)

-PERIBAHASA-




Definisi Peribahasa
Peribahasa ialah ayat atau kelompok kata yang mempunyai susunan yang tetap, rapi  serta mempunyai pengertian  yang tertentu.

Makna Tersirat

Makna peribahasa itu berkaitan  dengan sikap dan perlakuan manusia yang digambarkan dengan pelbagai situasi yang dengan sikap dan perlakuan manusia yang digambarkan dengan pelbagai situasi yang berkaitan dengan  alam sekeliling seperti benda, haiwan dan tumbuh-tumbuhan.

  Tujuan  atau Peranan Peribahasa

Peribahasa digunakan untuk pengajaran atau teguran  dengan cara yang sopan dan halus.


Jenis-jenis Peribahasa
  1. Perumpamaan
  2. Simpulan bahasa
  3. Bidalan
  4. Pepatah
  5. Kata-kata Hikmat   

  6. -----------------------------------------------------------------------------------------------------
    Contoh Peribahasa :
    Ada gula adalah semut

    Maksud : Apabila sesuatu tempat itu mudah mendapat kesenangan atau kemewahan di situlah ramai orang berkumpul.

    Contoh ayat : Di bandar itu ramai orang tinggal kerana senang mendapat rezeki dan kemewahan, seperti kata peribahasa ada gula adalah semut.
    -----------------------------------------------------------------------------------------------------

    Air dicencang tidak akan putus

    Maksud : Perselisihan antara adik-beradik tidak akan kekal lama dan akhirnya akan berbaik semula.

    Contoh ayat : Ahmad yang tidak bertegur sapa dengan abangnya selama setahun, sekarang telah berbaik-baik semula kerana air dicencang tidak akan putus.

    -----------------------------------------------------------------------------------------------------

    Air pun ada pasang surutnya

    Maksud : Untung dan malang nasib seseorang itu sentiasa bertukar ganti.

    Contoh ayat : Nasib Pak Zaki samalah seperti keadaan air pun ada pasang surutnya kerana dahulu dia hidup mewah tetapi sekarang dalam kesusahan.
    ----------------------------------------------------------------------------------------------------

    Air sama air, sampah ke tepi juga

    Maksud : Jangan mencampuri pergaduhan adik-beradik atau sekeluarga kerana apabila mereka berbaik semula kita akan tersisih.

    Contoh ayat : Karim yang mencampuri perselisihan Ismail sekeluarga kini tidak dipedulikan lagi apabila keluarga Ismail berbaik semula kerana air sama air, sampah ke tepi juga akhirnya.
    -----------------------------------------------------------------------------------------------------

    Air yang tenang jangan disangka tiada buaya

    Maksud : Orang yang pendiam jangan disangka bodoh atau penakut.

    Contoh ayat : Faridah itu umpama air yang tenang jangan disangka tiada buaya, walaupun dia sentiasa pendiam tetapi bijak dan berani memberikan pendapat.
    ------------------------------------------------------------------------------------------------------

    Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan

    Maksud : Tiap-tiap pekerjaan hendaklah dibuat sehingga selesai dan berjaya.

    Contoh ayat : Kita mestilah belajar bersungguh-sungguh sehingga mendapat keputusan yang cemerlang kerana alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan.
    ------------------------------------------------------------------------------------------------------

    Alah bisa, tegal biasa

    Maksud : Perkara atau kerja yang susah menjadi senang kalau selalu dibuat.

    Contoh ayat : Kerja memotong kayu itu alah bisa, tegal biasa sahaja bagi Ah Kow kerana sejak kecil lagi dia telah melakukannya.
    ------------------------------------------------------------------------------------------------------

    Alah membeli, menang memakai

    Maksud : Walaupun terasa berat membeli sesuatu barang yang mahal harganya tetapi barang itu bermutu dan tahan Iama.

    Contoh ayat : Saya tetap membeli baju yang mahal harganya itu kerana saya percaya alah membeli, menang memakai.
    -------------------------------------------------------------------------------------------------------

    Alah sabung, menang sorak

    Maksud : Harta benda habis tetapi faedahnya tidak didapati.

    Contoh ayat : Perbuatan Pak Leman itu alah sabung, menang sorak kerana wangnya banyak habis tetapi cita-citanya untuk menjadi pemimpin di kampung itu tidak berjaya.
    -----------------------------------------------------------------------------------------------------


    Seperti lembu dicucuk hidung

    Maksud : Orang yang sentiasa menurut kemahuan orang lain

    Contoh ayat : Shafiqq selalu menurut apa sahaja kata kawan-kawannya yang nakal sehingga dia sendiri mengalami nasib yang sama. Bak kata pepatah, seperti lembu dicucuk hidung
    ----------------------------------------------------------------------------------------------------

    Kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai

    Maksud : Kalau takut berhadapan dengan penderitaan , lebih baik jangan melakukan sesuatu yang susah 

    Contoh Ayat : "Kamu ni Nazry, kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai. Sekarang tengok apa sudah jadi pada kamu. Janganlah melakukan sesuatu jika kamu tidak mahu tanggung derita tersebut." kata Afiq.
    -----------------------------------------------------------------------------------------------------

    Indah khabar daripada rupa

    Maksud : Perkhabaran tentang sesuatu perkara yang dilebih-lebihkan. 

    Contoh ayat: Ali tertipu dengan berita yang diterimanya mengatakan bahawa keputusannya begitu teruk sekali. Sedangkan semuanya indah khabar daripada rupa, keputusan Ali sangat memberangsangkan.
    -----------------------------------------------------------------------------------------------------

    Kacang lupakan kulit

    Maksud : Orang yang melupakan asalnya atau orang yang pernah menolongnya setelah mendapat kesenangan. 

    Contoh Ayat : Segala perbuatan dan kebaikan Amar kepada Najib seperti kacang lupakan kulit apabila Najib mendapat segala kesenangan hasil bantuan Amar.
    -------------------------------------------------------------------------------------------------------

    seperti cendawan tumbuh selepas hujan

    Maksud : Terlalu banyak pada sesuatu masa. 

    Contoh Ayat: Rezeki hasil jualan makanan dan minuman pada perhimpunan aman Bersih semalam terlalu banyak seperti cendawan tumbuh selepas hujan.
    ------------------------------------------------------------------------------------------------------

    Sediakan payung sebelum hujan

    Maksud : Berjaga-jaga dulu sebelum mendapat sesuatu bencana. 

    Contoh ayat: Cikgu selalu berpesan pada saya bahawa, sediakan payung sebelum hujan supaya saya sentiasa berjaga-jaga dengan perkara disekeliling saya sebelum saya ditimpa apa-apa kejadian yang tidak diingini.
    -----------------------------------------------------------------------------------------------------

CAKNA BAHASA : SENI MENGARANG (TEKNIK DAN CONTOH KARANGAN)

MENGARANG KARANGAN MERUPAKAN SESUATU YANG MUDAH TETAPI KITA MEMERLUKAN FOKUS DAN PEMAHAMAN YANG TINGGI. DI SINI, SAYA AKAN KONGSIKAN TEKNIK MENGARANG YANG DIAJAR OLEH GURU SAYA.
Pendahuluan:
ANALISIS SOALAN :
TOPIK: (perkara yang menjadi bualan ataupun isu seperti masalah sosial, dimensi kekeluargaan dll)
FOKUS SOALAN: (fokus bagi topik tersebut seperti faktor, peranan,langkah dll)

Isi-isi:
FORMULA : IHCR
I - Isi Utama
H - Huraian isi
C - Contoh yang boleh dimasukkan
R - Rumus isi@penegasan

penutup:
FORMULA : RICK
Ri - Rumus keseluruhan isi
C - Cadangan
K - kesan daripada cadangan tersebut

Dengan ini, saya akan sisipkan beberapa buah karangan contoh yang telah dianalisis untuk dijadikan rujukan anda.


Karangan pendapat
Soalan:
Malaysia perlu mengekalkan hubungan yang baik dengan negara jiran. Berikan pendapat anda tentang kepentingan hubungan yang baik dengan negara jiran ini perlu dikekalkan.
Analisis soalan:
Topik:`Hubungan baik dengan negara jiran
Fokus soalan: Mengapakah perlunya kepentingan hubungan yang baik dengan negara                                               jiran dikekalkan?
Isi penting:
  1. Kita dapat memperoleh bantuan daripada negara jiran apabila menghadapi sesuatu masalah
  2. Kegiatan perdagangan dan perniagaan antarabangsa dapat ditingkatkan
  3. Keamanan dan keharmonian negara dapat dikekalkan
  4. Negara kita dapat meningkatkan tahap pendidikan rakyat

                Dalam menongkah arus penyejagatan yang kian meruncing, Malaysia sentiasa ingin mengekalkan hubungan yang baik dengan negara jirannya (AYAT TOPIK). Tamsilnya, negara serantau termasuklah Thailand, Singapura, Indonesia, Brunei, Filipina, dan lain-lain lagi (AYAT CONTOH). Bagi mengekalkan hubungan yang baik ini, negara kita mengadakan pelbagai langkah seperti sesi lawatan Perdana Menteri ke negara jiran dan sentiasa bermuafakat dalam pelbagai perkara (AYAT HURAIAN). Baik negara kita mahupun negara jiran, kita banyak memperoleh manfaat atau kepentingan hasil daripada hubungan baik ini (AYAT HURAIAN). Hal ini bertepatan dengan kata pepatah, belum duduk sudah berlunjur, belum memperoleh sesuatu yang diingini sudah beroleh manfaat lainya (AYAT HURAIAN). Persoalan yang sering menjadi buah mulut segenap masyarakat sejagat, mengapakah perlunya kepentingan hubungan yang baik dengan negara jiran dikekalkan? (FOKUS SOALAN)

                Salah satu kepentingan mengekalkan hubungan yang baik dengan negara jiran termasuklah kita dapat memperoleh bantuan daripada negara jiran apabila kita menghadapi sesuatu masalah (ISI 1). Malaysia pernah menghulurkan bantuan kepada negara jiran yang menghadapi masalah (AYAT HURAIAN). Hal ini boleh diibaratkan bagai aur dengan tebing dan berat sama dipikul, ringan sama dijinjing (AYAT HURAIAN). Sebagai contohnya, Malaysia telah menghantar tentera, pasukan sukarelawan, dan doktor perubatan ke Indonesia ketika negara itu dilanda bencana gempa bumi baru-baru ini (AYAT CONTOH). Negara kita juga telah mengadakan kutipan derma yang mencecah jutaan ringgit untuk membantu mangsa tersebut (AYAT CONTOH). Dengan ini, hubungan baik negara kita dengan negara jiran harus dikekalkan supaya negara kita juga akan mendapat bantuan apabila menghadapi masalah kelak bak kata pepatah ke bukit sama-sama didaki, ke lurah sama dituruni (RUMUS ISI).

                Jika ditelusuri secara mendalam, kegiatan perdagangan dan perniagaan antarabangsa  di negara kita dapat ditingkatkan (ISI 2). Negara kita dan negara jiran memperoleh keuntungan yang banyak melalui pelbagai jenis hubungan perdagangan dua hala (AYAT HURAIAN). Sebagai contohnya, negara kita mengimport beras dari Thailand bagi menampung keperluan rakyat manakala Thailand mengimport petroleum dari negara kita (AYAT CONTOH). Malah, negara kita juga telah mengeksport barangan tempatan seperti kraftangan dan makanan segera ke negara-negara jiran sebagai langkah permulaan untuk membuka mata dunia bahawa negara Malaysia juga mampu bersaing dengan produk di persada antarabangsa (AYAT HURAIAN DAN AYAT CONTOH). Kedua-dua belah pihak telah mendapat keuntungan yang banyak daripada perdagangan dua hala ini (AYAT HURAIAN). Selain Thailand, negara kita juga mempunyai hubungan perdagangan dengan negara- negara lain seperti Singapura, Filipina, Myanmar, Indonesia, dan lain-lain (AYAT CONTOH). Tidak dapat dinafikan lagi bahawa hubungan baik dengan negara jiran telah meningkatkan hubungan perdagangan kita dengan negara jiran (RUMUS ISI).

                Di samping itu, keamanan dan keharmonian negara juga dapat dikekalkan (ISI 3). Negara kita sentiasa mengekalkan hubungan baik dengan negara jiran supaya peperangan tidak berlaku (AYAT HURAIAN). Seperti yang kita sedia maklum bahawa, peperangan tidak mendatangkan sebarang manfaat, sebaliknya akan membawa kemusnahan dan kehilangan nyawa (AYAT HURAIAN). Misalnya peperangan antara dua negara berjiran iaitu Iraq pada suatu masa dahulu banyak membawa keburukan kepada kedua-dua belah pihak seperti yang dinyatakan oleh pepatah kalah jadi abu, menang jadi arang (AYAT CONTOH). Banyak kemusnahan yang berlaku di kedua-dua buah negara itu, malah ribuan tentera dan rakyatnya telah terbunuh (AYAT HURAIAN). Oleh itu, negara kita hendaklah mengambil iktibar dan sentiasa menjaga hubungan yang baik dengan negara jiran demi kesejahteraan hidup (RUMUS ISI).

                Selain itu, negara kita juga dapat meningkatkan tahap pendidikan rakyat jika kita terus mengadakan hubungan yang baik dengan negara jiran (ISI 4). Hal ini demikian kerana kerajaan tidak mampu untuk menyediakan semua kursus, sama ada di kolej ataupun di universiti negara kita yang hendak diikuti oleh rakyat (AYAT HURAIAN). Sebagai contohnya, rakyat tempatan dapat mengikuti kursus seperti kursus biogenetik, astronomi, dan aeroagkasa di negara jiran kerana kursus itu tidak ditawarkan oleh universiti di negara kita (AYAT CONTOH). Selain itu, negara kita dapat menghantar pelajar tempatan ke negara jiran untuk mengikuti atau untuk menjalani latihan di negara jiran (AYAT HURAIAN). Tamsilan, kerajaan telah menghantar pelajar ke indonesia untuk mengikuti kursus perubatan (AYAT CONTOH). Penyiasatan secara menyeluruh telah dilakukan dan jelas membuktikan bahawa 25 peratus iaitu satu per empat daripada pelajar Malaysia telah melanjutkan pelajaran mereka ke negara-negara berprestij (AYAT HURAIAN). Bahkan mereka juga telah berjaya mendapat manfaat daripada negara yang mereka jadikan sebagai landasan untuk mereka mempraktikkan diri sebelum menongkah alam pekerjaan (AYAT HURAIAN). Bukankah ini menunjukkan bahawa mengekalkan hubungan baik dengan negara jiran memberi banyak manfaat kepada rakyat Malaysia terutamanya golongan muda? (AYAT HURAIAN). kesimpulannya, ditegaskan bahawa hubungan baik dengan negara jiran dapat meningkatkan mutu pendidikan rakyat di negara kita (RUMUS ISI).

                Secara tuntasnya, sudah terang lagi bersuluh, terdapat pelbagai kepentingan dalam mengekalkan hubungan baik dengan negara jiran (RUMUS ISI). Negara kita seharusnya sentiasa bermuafakat dengan negara jiran dalam menagani sesuatu masalah (AYAT CADANGAN). Pepatah melayu mengatakan bahawa muafakat membawa berkat (AYAT KESAN)). Hubugan baik dengan negara jiran akan menjamin keamanan, kebahagiaan, dan kesejahteraan hidup rakyat (AYAT KESAN). Bagi meneruskan hubungan baik dan kerjasama dengan negara jiran, kita janganlah menimbulkan isu-isu yang sensitif yang akan menimbulkan ketegangan antara kedua-dua buah negara baktan sarang tebuan jangan dijolok (AYAT CADANGAN & AYAT KESAN). Apabila hubungan yang baik terjalin, masing-masing negara akan sentiasa mempunyai semangat untuk tolong-menolong atau bantu-membantu bagai aur dengan tebing bagi manfaat rakyat dan negara (AYAT KESAN). Oleh itu, jika semua pihak bekerjasama dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing, sudah pasti imej negara dapat dijaga.

LARAS BAHASA BAHASA MELAYU


Definisi Laras Bahasa
Umumnya dapat diterangkan sebagai cara penggunaan sesuatu bahasa. Asmah Hj.Omar (1984), berpendapat bahawa laras bahasa ialah khusus dalam penggunaan bahasa menurut bidang penggunaannya.
Laras bahasa boleh didefinisikan sebagai gaya atau cara penggunaan sesuatu bahasa. Sesuatu laras bermaksud variasi yang ada pada tiap-tiap penutur. Laras bahasa biasanya berubah-ubah mengikut situasi. Ciri-ciri laras yang penting ialah perbendaharaan kata, susunan ayat dan frasa yang digunakan. Sesuatu laras tertentu digunakan untuk keadaan atau situasi tertentu. Daripada suatu segi, dapat dikatakan bahawa dengan memilih laras yang tidak sama untuk situasi-situasi yang berlainan, anggota masyarakat dapat menunjukkan bahawa mereka sedar akan situasi-situasi sosial yang berlainan yang wujud di sekitar mereka.
Ure dan Ellis (1977) menganggap laras sebagai ‘jenis-jenis bahasa yang digunakan mengikut situasi-situasi yang berlainan’.
Sementara Hill dalam satu makalahnya Institutional Linguistics(1958) mengesorkan klasifikasi laras mengikut matra gaya, genre, dan cara iaitu style, genre, dan mode. Joos pula (1962) melihat laras bahasa dari dimensi formaliti telah menegaskan gaya dengan membahagikan dengan lima jenis bahagian iaitu beku, formal, rundingan, selamba, dan intim dalam tulisannya The Five Clocks.
Halliday (1968) pula mendefinisikan laras bahasa sebagai variasi bahasa yang berbeza berdasarkan fungsi. Beliau melihat laras dari tiga dimensi iaitu :-
§      tajuk wacana
§      cara penyampaian
§      gaya penyampaian.
Tiga Dimensi Laras (Halliday)
Tajuk wacana
Merujuk kepada bidang yang diperkatakan seperti biologi, perubatan, sukan, pendidikan, matematik dan sebagainya.
Bidang-bidang ini menentukan kosa kata dan istilah serta jenis ayat dan ragam ayat yang digunakan.
Jika wacana merupakan wacana ilmiah, maka ragam ayat pasif banyak digunakan untuk memberikn fokus kepada perkara yang dibincangkan.
Sebaliknya, jika wacana merupakan ulasan selari perlawanan bola sepak , ragam ayat aktif dengan ayat tunggal yang pendek-pendek banyak digunakan supaya sesuai dengan tempo perlawanan bola sepak berkenaan.
Cara penyampaian
Sama ada wacana berkenaan disampaiakn secara lisan atau tulisan.
Jika lisan, sama ada ia merupakan wacana syarahan atau ucapan, perbahasan dan khutbah atau doa.
Jika tulisan sama ada ia esei, laporan, surat rasmi atau surat peribadi, memorandum atau iklan.
Gaya penyampaian
Mengimbangi sama ada suatu ucapan berkenaan disampaikan dalam situasi formal atau tak formal.
Misalnya, ucapan, adakah ucapan itu disampaiakn dalam majlis yang formal yang dihadiri oleh orang-orang kenamaan atau dif-dif.
Laras bahasa merupakan satu konvensi sosial. Sesuatu laras tertentu digunakan untuk keadaan atau situasi tertentu. Seseorang pengguna bahasa menggunakan laras yang berbeza-beza bagi situasi yang berlainan, mengikut kesesuaiannya. Pilihan laras amat luas, misalnya laras apabila bercakap dengan rakan sepejabat tentang hal-hal pekerjaan; laras dengan majikan; laras dalam suasana rumah tangga, misalnya antara suami isteri, dengan anak-anak, dengan mertua dan dengan sanak saudara; laras sewaktu menulis laporan atau minit mesyuarat; dan laras sewaktu tawar-menawar di pasar. Jumlah laras seseorang itu menggambarkan keseluruhan pengalaman bahasanya dan peranan yang dimainkan olehnya dalam masyarakat.
Ciri-ciri Laras Bahasa
Ferguson (1968) sewaktu membincangkan ciri-ciri bahasa yang telah maju, mengatakan bahawa salah satu ukuran untuk menentukan taraf kemajuan ialah menerusi jumlah laras yang wujud dalam bahasa berkenaan.
Laras bahasa dapat digolongkan kepada dua golongan besar, iaitu laras biasa dan laras khusus.
*      Laras biasa ialah laras khusus yang digunakan untuk masyarakat umum seperti bidang hiburan (laporan sukan, berita sukan), pengetahuan dan penerangan (syarahan, rencana), maklumat dan pemujukan (rencana, iklan).
Ø  Tidak melibatkan bidang tertentu, mudah difahami, tiada istilah teknikal, kurang kata pinjaman.
Ø  Gaya ayat sederhana, ringkas dan padat.
Ø  Struktur ayat mudah, contohnya: Di larang memijak rumput.
Laras bahasa biasa terbahagi kepada formal dan tak formal.
Laras Bahasa Biasa
Formal/Rasmi
Tak Formal
Digunakan dalam majlis rasmi, surat kiriman dan sebagainya.
Berlaku proses pengguguran dalam ayat-ayat yang diucapkan sama ada pengguguran subjek, predikat, objek.
*      Laras khusus pula merujuk kepada kegunaan untuk khalayak khusus seperti ahli-ahli atau peminat dalam bidang tertentu dan pelajar-pelajar (rencana, laporan, buku).
Pembeza utama yang membezakan antara laras biasa dengan laras khusus ialah:
v  kosa kata
v  tatabahasa
v  gaya
Perbezaan antara laras bahasa biasa dan laras bahasa khusus :
Golongan laras
Bidang
Situasi
Contoh Bahan
Biasa
Hiburan
Pengetahuan
Maklumat
Upacara/.Majlis
Khalayak Umum
Berita, laporan. iklan, surat peribadi
Ucapan syarahan
Acara majlis umum
Doa, khutbah
Khusus
Doa-khutbah
Teknikal
Ilmiah
Khalayak Umum
Acara majlis rasmi
Rencana, ekonomi, undang-unang, fizik, kimia, dan lain-lain.
Tesis, rencana matematik, biologi, Fizik, Kimiz, Lukisan Kejuruteraan dan sebagainya.
ASPEK AYAT
Ayat Aktif dan Ayat Pasif.
Dari segi makna tidak ada perbezaan yang ketara antara ayat berbentuk aktif dengan ayat pasif. Perbezaannya cuma terletak pada penekanan yang diberikan. Contohnya:
1. Pemburu itu telah menembak rusa jantan.
Dalam ayat tersebut yang diberi penekanan ialah subjek ayat, iaitu pemburu itu. Jikalau ayat ini dipasifkan objek asal iaitu rusa jantan dikedepankan dan diberikan penekanan.
           
a: Rusa jantan telah ditembak oleh pemburu itu.
Manakala apabila frasa yang menyatakan objek pelaku dianggap tidak penting langsung dan digugurkan iaitu frasa pemburu itu. 
b: Rusa jantan telah ditembak.
Dalam ketiga-tiga ayat ini, susunan subjek dan predikatnya dan unsur penguguran bahagian tertentu membawa penekanan yang berbeza kepada laras.
Aspek keformalan bahasa juga dapat dilihat melalui pilihan antara ayat aktif dengan ayat pasif. Ayat pasif biasanya digunakan dalam laporan. Contohnya:
Kajian itu telah dijalankan selama enam bulan. Salah satu dapatan kajian itu adalah bahawa gejala itu tidak dapat diselesaikan dalam masa yang singkat.
Selain itu, bagi menunjukkan dengan lebih jelas penekanan yang berbeza yang dihasikan melalui susunan ayat ialah:
a)    Mereka ke Melaka minggu lalu
b)    Minggu lalu mereka ke Melaka
c)    Ke Melaka mereka minggu lalu
Ayat Pendek dan Ayat Panjang
Kepanjangan ayat juga merupakan satu ciri linguistik yang membezakan  laras. Ayat dibawah memperlihatkan susunan ayat majmuk gabungan yang terdiri daripada rentetan ayat-ayat tunggal pendek. Contohnya:
Kata sahibul hikayat, maka tersebutlah perkataan Kampar, Maharaja Jaya nama rajanya, Pekan Tua nama negerinya, asalnya daripada Raja Minangkabau; tiada ia menyembah ke Melaka.
Manakala ayat-ayat panjang yang menjadi kegemaran sebahagian penulis pada masa kini. Contohnya:
Kerajaaan disarankan menubuhkan Kelab Perpaduan di semua sekolah tahun depan, dalam usaha merapatkan hubungan antara pelbagai kaum di kalangan pelajar yang bakal menjadi pemimpin Negara.
                                                           (Berita Harian, 26 Disember 2000)
Dalam contoh ini, binaan ayat agak panjang yang terdiri daripada ayat induk dengan pelbagai bentuk perluasan disamping ayat kecil.
Manakala contoh kedua terdiri daripada ayat majmuk yang berbentuk ayat majmuk gabungan dan ayat majmuk pancangan relatif dan keterangan. Contohnya:
Dasar Ekonomi Baru yang diperkenalkan oleh kerajaan dengan matlamat untuk menyusun semula masyarakat dan membasmi kemiskinan serta meningkatkan penglibatan bumiputera dalam bidang perniagaan masih belum dapat dicapai sepenuhnya.
Jenis-jenis Laras Bahasa Berserta Contoh
.
 1.Laras Biasa
Laras ini merupakan penggunaan bahas yang tidak membabitkan sebarang bidang ilmu atau konteks khusus. Ia biasanya digunakan dalam perbualan seharian. Oleh itu, laras biasa tidak mengandungi istilah atau pola yang khusus.
Contoh : Hai Mat ! Nak ke mana tu? Tak singgah dulu?
2.Laras Bahasa Perniagaan
v  Biasanya digunakan dalam dunia korporat, khususnya bidang
perusahaan, perindustrian, perakaunan, perbankan, perniagaan dan
perdagangan.
ContohBank Simpanan Nasional (BSN) mencatatkan prestasi di luar
               jangkaan apabila mengaut keuntungan sebelum cukai bagi
               setengah tahun pertama, lebih RM70 juta dan mengatasi
                       keuntungan sebanyak RM 47.754 juta bagi tahun lalu

v  Laras jenis ini kebiasaanya digunakan untuk mengiklankan  jenama barangan yang ingin dijual. Gaya bahasa yang digunakan biasanya memujuk pendengar supaya membeli barangan menerusi cara penyampaian yang menarik sekali.
v  Ayat yang digunakan pendek-pendek dan tidak gramatis.
v  Mempengaruhi penguna untuk membentuk tanggapan tertentu , atau mengubah sikap dan melakukan tindakan.
v  Digunakan dalam iklan, tender, laporan dan sebagainya , disokong pula oleh gambar, lukisan, grafik, ilustrasi dansebagainya.
v  Iklan dapat dihasilkan dengan beberapa cara seperti berikut:

(a) Slogan: Kami Ada Cara
(b) Kaedah Pernyataan: Rumah Untuk Dijual/Disewa
(c) Perkaitan Konsep: Artis X dengan Tilam Jenama Y
(D) Perisytiharan: Waja dengan Aksesori Lengkap
(e) Kaedah Umpan: Beli Satu, Percuma Satu
(f) Mesra: Keutamaan Kami Adalah Pelanggan.
(g) Bandingan: Bateri X Lebih Berkuasa dan Tahan Lama
(h) Gesaan: Cepat! Cepat! Datanglah Beramai-ramai
(i) Pertanyaan: Sakit Pinggang? Sapulah Dengan Minyak Angin Z.
3.Laras Bahasa Akademik
Laras akademik boleh dibahagikan kepada beberapa bahagian berdasarkan bidang ilmu yang diperkatakan. Antaranaya laras sains, laras ekonomi, laras sastera dan sebagainya. Laras ini kemudiannya terbahagi pula kepada beberapa sub-bidang yang terdapat dalam sesuatu bidang akademik. Misalnya, dalam bidang sains, terdapat laras kimia, biologi dan fizik.
Dalam bidang akademik, laras yang digunakan mudah dikesan dengan kehadiran istilah-istilah teknikal dan khusus yang berkaitan dengan bidang berkenaan.
Contoh  dalam bidang ekonomi : Perubahan dalam pola guna tenaga merupakan gejala yang umum dalam proses pembangunan ekonomi. Lebihan buruh daripada sektor pertanian yang mempunyai daya pengeluaran marginal yang rendah semakin ramai diserap ke dalam sektor industri yang mempunyai daya pengeluaran yang tinggi.
Contoh laras sains dalam bidang biologiSel-sel kelenjar kolon merembeskan mukus yang berfungsi dalam melicinkan pergerakan kandungan kolon ke arah rektum. Tidak terdapat enzim yang dirembeskan di bahagian kolon. Cecair yang dirembeskan bersifat alkali.
 Contoh laras bahasa sains dalam bidang geokimia : Sejauh mana pencarian OH atau H20 pada permukaan bergantung pada pH, seperti yang ditunjukkan dalam rajah 8.11 dan seperti yang diramalkan daripada persamaan 8.21.
4.Laras Bahasa Undang-Undang
Merupakan salah satu daripada laras ilmiah yang terdapat dalam bahasa Melayu sejak zaman dahulu lagi. Bagaimanapun, pada hari ini, laras undang-undang lebih bersifat moden dan banyak menggunakan istilah teknikal.
Contoh : Defenden membantah pada awal prosiding kerana tidak bersetuju dengan cadangan plainitif untuk mengemukakan saksi-saksi yang dikatakan tidak relevan dengan perbicaraan berkenaan.
Contoh: Barangsiapa yang:-
            a)memberikan kepadanya dirinya sendiri @ menyiksa mana-mana orang lain bertentangan dengan peruntukan seksyen 14 dengan memberikan kepadanya dadah berbahaya yang ditetapkan di bahagian 3 dan 4 dari jadual pertama atau
b) dijumpai berada di mana-mana premis yang telah di khaskan atau di gunakan untuk mana-mana tujuan seperti yang telah di tetapkan dalam seksyen 13 supaya mana-mana dadah berbahaya tersebut boleh diberikan atau atu di hisap atau dengan kaedah lain olehnya adalah bersalah atas suatu kesalahan terahdap akta ini dan jika disabitkan hendaklah di denda tidak lebih dari lima ribu ringgit atau di kenakan hukuman penjara selama tempoh tidak lebih daripada 2 tahun.
5.Laras bahasa media
Laras media massa kurang mementingkan gaya atau nahu, khususnya penggunaan imbuhan dan kata hubung.
Berita sebagai satu wacana mempunyai struktur teks yang tersendiri, lain daripada struktur teks cereka, dan lain pula daripada struktur teks esei dan karya ilmiah.
Wartawan atau pengarang akhbar menggunakan bahasa untuk menjelaskan sesuatu menurut cara yang paling mudah diterima sesuai dengan selera sebilangan besar pembaca akhbar.
Tiga ciri penting yang harus ada dalam berita akhbar yang baik ialah:
o   Pertama - bahasa yang digunakan mudah.
o   Kedua - gaya tulisan yang jelas dan
o   Ketiga - isi tulisan mestilah tepat. Oleh sebab akhbar diterbitkan untuk orang ramai, maka bahasa akhbar haruslah sesuai dengan bahasa kegunaan orang ramai.
Bahasa yang digunakan bersahaja dan bersifat melaporkan sesuatu peristiwa yang berlaku. Bahasanya juga ringkas dan mengandungi berita yang maksimum untuk dipaparkan kepada pembaca dan penonton
 Contoh : Perak menjuarai kejohanan bola sepak Piala Malaysia 1998 selepas menewaskan Terengganu dengan jaringan tipis 1-0 di Stadium Nasional malam tadi.
Ayat yang panjang, mengandungi beberapa klausa, menggunakan petikan, metafora, kiasan, istilah teknik, dan sebagainya haruslah dielakkan.
6.Laras Bahasa Sastera
Memperlihatkan gaya bahasa yang menarik dan kreatif.
Bahasanya boleh dalam bentuk naratif, deskriptif, preskriptif, dramatik dan puitis.
Beberapa ciri bahasa sastera:
a kreatif dan imaginatif: kabur mesej
b. mementingkan penyusunan, pengulangan, pemilihan kata
c. puitis dan hidup,: monolog, dialog, bunga-bunga bahasadan sebagainya.
d. menggunakan bahasa tersirat: perlambangan, kiasan, perbandingan, peribahasa, metafora, simile, personifikasi, ilusi, ambiguiti dan sebagainya.
e. terdapat penyimpangan tatabahasa atau manipulasi bahasa.
 Contoh : Apabila berbicara mengenai kesusasteraan, kita sebenarnya akan membincangkan beberapa aspek seperti tema, kronologi, mesej yang ingin disampaikan, watak dan perwatakan unsur termasuk personifikasi dan metafora.
Contoh  novel : Perkarangan tempat menunggu di Unit Kecemasan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia kelihatan lengang. Qasdina yang sudah hampir 15 minit tiba, sekadar menyepikan diri di deretan bangku-bangku kosong yang terdapat di situ. Air matanya sudah lama kering. Penantiannya bagaikan tiada jawapan.
7.Laras Bahasa Agama
Mengandungi istilah agama daripada bahasa Arab
Struktur ayatnya banyak dipengaruhi struktur bahasa Arab
Diselitkan dengan petikan daripada al-Quran dan hadis.
Contoh (doa) : Wahai Tuhan kami,kami meminta daripada Engkau kesejahteraan dalam agama, kesihatan tubuh badan, keberkatan rezeki, keampunan sebelum mati, rahmat pada  kala mati, dan keampunan selepas mati. Wahai Tuhan kami, senangkanlah kami waktu menghadapi kematian dan lepaskan kami dari neraka dan anugerahi kami kemaafan pada waktu perkiraan.
8.Laras Bahasa Sukan
Berkaitan dengan aktiviti-aktiviti dan kegiatan sukan.
Contoh : Sistem liga merupakan satu-satunya format pertandingan yang paling digemari oleh pihak penganjur dan para peserta dalam permainan sukan berpasukan. Dalam sistem ini setiap pasukan akan bertemu seberapa banyak yang mungkin dengan pasukan yang lain bergantung kepada bilangan ahli kumpulan masing-masing.
9.Laras Bahasa Sains Komputer
Mengandungi istilah-istilah berkaitan dengan peranti komputer dan siber.
Contoh : Aktiviti penyelenggaraan komputer peribadi (PC) sering dianggap remeh, kerana sifatnya yang agak membosankan meskipun aktiviti ini penting. Seperti perkakasan, senggaraan secara berterusan juga perlu untuk perisian ,sisitem operasi 
(OS), program dan data.