Jumaat, 16 November 2012
PEPATAH ORANG DULU-DULU......
Yang pekak penghembus lesung,
Yang pekak pelepas bedil,
Yang lumpuh penghuni rumah,
Yang kuat pembawa beban,
Yang bodoh disuruh-suruh,
Yang pintar bawa berunding.
Keluk paku kacang belimbing,
Tempurung lenggang-lenggangkan,
Bawa menurun ke Saruaso,
Anak dipangku kemenakan dibimbing,
Orang kampung dipertimbangkan,
Fikirkan rasa dengan periksa.
Mungkin dan patut,
Rasa dan periksa,
Malu dan sopan,
Hereng dan gendeng,yang baik oleh kita,
Suka oleh orang,
Melebihi baik,
Mengurangi sia-sia,
Bayang-bayang sepanjang badan.
Yang kurik adalah kundi,
Yang merah adalah saga,
Yang baik adalah budi,
Yang indah adalah bahasa,
Pucuk pauh sedang terjela,
Penjuluk bunga lingundi,
MARI BERKENALAN DENGAN PUISI LAMA :TEROMBA
Teromba
merupakan satu ikatan puisi yang menyatakan adat lembaga atau asal-usul adat
lembaga khususnya yang terdapat di kalangan mereka yang mengamalkan Adat
Perpatih dalam kehidupan kelompok masyarakatnya. Dalam teromba itu bukan
sekadar menerangkan susun lapis dalam masyarakatnya baik dari aspek
pemerintahan mahupun keluarga tetapi juga menggambarkan tentang sosialisasi
masyarakat yang mementingkan nilai-nilai Islam seperti tolong-menolong,
muafakat, kesederhanaan dan keadilan dalam kehidupan di samping perpaduan yang
erat.
Definisi
lain pula menyatakan teromba merupakan salah satu aspek yang menbezakan Adat
Perpatih dengan Adat Melayu negeri yang
lain. Di kalangan masyarakat Adat
Perpatih, teromba yang diguna pakai sebelum menjalankan sebarang aktiviti
kemasyarakatan baik sosial, politik mahupun ekonomi, ini termasuklah hal-hal
pentadbiran negeri, suku, perundangan, kehakiman, upacara istiadat dan
sebagainya.
Menurut
Kamus Dewan, teromba pada makna
asalnya adalah sejarah yang diceritakan dalam bentuk perbilangan, tambo atau
riwayat. Manakala dialek Negeri Sembilan menyebutnya “terombo” dengan huruf “r”nya seperti bunyi “ghain”
nipis. Dialek Minagkabau pula “tambo”
yang mungkin daripada perkataan “tarambo”
tetapi telah digugurkan bunyi “r”nya.
Walau apapun asal atau sejarahnya dipanggil ia adalah maksud atau menekankan
unsur sasteranya, kata-kata berirama dan diungkapkan dari mulut ke mulut sejak
zaman-berzaman.
Dengan
erti kata lain, teromba adalah himpunan puisi-puisi Melayu yang sangat indah
dari segi penghasilannya. Dalam teromba mengandungi unsur pantun, seloka,
peribahasa, bidalan, pepatah-petitih, dan beberapa lagi puisi tradisional.
Tema
dan isi teromba banyak memberikan gambaran tentang pegangan atau tingkah laku
serta peraturan yang mesti dipatuhi, nilai bermasyarakat atau hidup bersepadu,
di samping memberi bayangan tentang kepercayaan, nilai dan pegangan serta
pandangan hidup masyarakat. oleh yang demikian, teromba digunakan dan menjadi
sebahagian daripada alat untuk mengkomunikasikan aspek-aspek kepercayaan,
pengetahuan, kesenian, estetika, etika, moral, nilai dan elemen-elemen lain
yang ada dalam kehidupan bermasyarakat dan dalam kes ini masyarakat Adat
Perpatih khasnya.
INFO BAHASA : KATA ARAH
MARI BERKONGSI IDEA...
Menurut
Tatabahasa Dewan (Edisi Ketiga, 2008), ada 17 jenis kata tugas. Semua kata
tugas ini tidak mempunyai makna. Kata tugas hanya dikatakan mempunyai tugas
tatabahasa sahaja, maka sebab itulah ia dipanggil sebagai kata tugas. Sungguhpun
kata tugas dianggap tidak mempunyai apa-apa makna, tetapi perkataan-perkataan
tersebut penting kerana tugas-tugas yang dilakukan olehnya adalah sangat mustahak.
Contoh kata tugas termasuklah kata bilangan, kata arah, kata pemeri, kata
bantu, kata naïf, kata seru, dan sebagainya.
Mengikut
pendapat Abdullah Hassan dalam buku “Tatabahasa
Pedagogi Untuk Sekolah Menengah”(2008 : 295), beliau menjelaskan bahawa
kata arah dikatakan sebagai satu bentuk kata yang berfungsi untuk memberitahu
arah tempat di mana sesuatu benda itu berada. Selain itu, beliau juga
menjelaskan bahawa terdapat pelbagai isu yang perlu diselesaikan dalam hal kata
arah. Ramai orang menganggap kata arah ini tidak banyak bezanya dengan kata
sendi, atau menjadi sebahagian daripada kata sendi gabungan. Oleh yang
demikian, golongan kata tugas yang dipanggil kata arah ini perlu dikaji dengan
lebih mendalam lagi untuk menghuraikan kekusutan ini. Hanya kajian yang
menggunakan data digital akan dapat melihat penggunaannya dengan meluas dan
dapat membuat kesimpulan yang dapat dipertanggungjawabkan. Senarai yang
disediakan melalui persepsi anggapan sahaja adalah tidak dapat
dipertanggungjawabkan.
Hashim
Haji Musa pula dalam buku “Binaan dan
Fungsi Perkataan Dalam Bahasa Melayu : Suatu Huraian dari Sudut Tatabahasa
Generatif” (1993 : 345 & 346) menjelaskan bahawa kata arah adalah
sejumlah perkataan yang boleh hadir dalam konstituen kata arah (K Arah)
dalam frasa sendi (FS) iaitu seperti
yang tertera dalam rumus struktur frasa (RSF) bahasa Melayu. Kata arah
berfungsi untuk menunjukkan arah atau lokasi bagi kata nama yang mengikutinya.
Buku
“Pembentukan Kata Dalam Bahasa Melayu tulisan Ahmad Khair Mohd Nor (2007 : 162
& 163) menghuraikan bahawa kata arah sering berpasangan dengan kata sendi
bagi menunjukkan ciri arah atau tempat. Kedudukan kata arah dalam frasa adalah
selepas kata sendi dan sebelum frasa nama. Menurut beliau lagi, dalam keadaan
tertentu, penggunaan kata arah atau tanpa kata arah boleh menimbulkan perbezaan
makna ayat.
Contoh
kata arah yang sering digunakan dalam kehidupan seharian adalah seperti hadapan atau depan, belakang, tepi, dalam,
tengah, luar, atas, bawah, sisi, utara, selatan, timur, barat, tenggara, barat
daya, timur laut, barat laut, timur tengah, timur jauh, hulu, hilir dan
sebagainya.
Lazimnya,
ciri-ciri kata arah mudah dikenalpasti. Salah satu daripada cirinya adalah
sering menunjukkan arah sesuatu benda. Kedua, hanya dua kata sendi sahaja yang
boleh membantu kata arah iaitu kata sendi ‘di’ dan ‘ke’ dan akhirnya dapat membentuk
frasa sendi dengan bantuan kata arah. Kata arah juga bertindak sebagai penerang
arah, penguat dan membantu kata sendi.
Berdasarkan
pendapat yang dinyatakan oleh ketiga-tiga penulis, dapatlah dirumuskan bahawa
kata arah adalah suatu kata penting yang merujuk kepada arah kedudukan sesuatu
benda maujud atau tidak dan ia berfungsi sebagai penerang arah kedudukan benda
tersebut.
PANTUN KEPAHLAWANAN
ARUS SEJENAK BERSAMA PUISI LAMA.....
Guruh berdentum bumi bergegar,
Ayam jaguh sedang bersabung,
Jangan cakap sahaja berdegar,
Hulur senjata kita bertarung.
Kalau orang menjaring ungka,
Rebung seiris akan pengukusnya,
Kalau arang tercorong ke muka,
Ujung keris akan penghapusnya.
Redup bintang haripun subuh,
Subuh tiba bintang tak nampak,
Hidup pantang mencari musuh,
Musuh tiba pantang ditolak.
Khamis, 1 November 2012
Selamat Menduduki Peperiksaan SPM 2012
Kepada semua calon sekolah yang bakal menduduki Peperiksaan SPM 2012, diucapkan semoga berjaya dengan cemerlang.
Berita Terkini Panitia BM
Pada tahun 2012, Panitia Bahasa Melayu telah menerima Anugerah Blog Panitia Berinisiatif sempena ANUGERAH INOVASI sekolah kali ini. Kali ketiga berturut-turut Panitia Bahasa Melayu menerima anugerah tersebut. Terima kasih kepada semua ahli panitia yang banyak memberikan kerjasama dalam melancarkan perjalanan panitia sepanjang tahun 2012. Selamat bercuti.
Langgan:
Catatan (Atom)